• 2025-08-15 08:54 PM

ARAU: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menjadi tuan rumah pertandingan RoboCup Malaysia Open 2025 yang menghimpunkan seramai 250 peserta dari Malaysia, China, Iran dan Thailand, mempamerkan kepakaran robotik berasaskan kecerdasan buatan (AI).

Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Zaliman Sauli berkata edisi kali ini mempertandingkan pelbagai kategori termasuk robot penyelamat, robot domestik, robot bola sepak dan robot line following, dengan setiap pasukan perlu memprogramkan robot mengikut cabaran ditetapkan.

“RoboCup kali ini mengetengahkan aplikasi AI selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam Rancangan Malaysia Ke-13 yang menekankan kepentingan teknologi itu.

“AI membolehkan robot membantu operasi seperti menyelamat ketika bencana, mengurus rumah dan melaksanakan tugas harian,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian pertandingan di UniMAP, hari ini.

Pertandingan tiga hari itu dirasmikan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor UniMAP.

Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pro Canselor.

Zaliman berkata perkembangan teknologi robotik di negara ini semakin pesat, bukan sahaja di peringkat universiti malah sekolah rendah dan menengah menerusi bimbingan pakar UniMAP, termasuk di Sekolah Kebangsaan Seri Indera, Sekolah Kebangsaan Sena dan Sekolah Menengah Derma.

“Lebih 20 sekolah mengambil bahagian kali ini dan generasi Alpha ini membuktikan keupayaan menguasai teknologi serta pengaturcaraan pada usia muda,” katanya.

Beliau berkata UniMAP turut menubuhkan Fakulti Kecerdasan Komputer serta memperkenalkan program baharu seperti Sains Data dan bidang berkaitan AI, selain mengintegrasikan teknologi itu dalam semua program pengajian - BERNAMA