ANKARA: Ketua Pesuruhjaya Agensi Kerja dan Bantuan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) Philippe Lazzarini pada Sabtu mengutuk larangan berterusan Israel terhadap kemasukan wartawan antarabangsa ke Gaza, lapor Anadolu Ajansi.
“Ini tidak pernah berlaku sebelum ini dalam mana-mana konflik lain dalam sejarah moden,” kata Lazzarini dalam satu kenyataan,
“Ia adalah larangan terhadap kebenaran. Ia adalah larangan terhadap pelaporan fakta. Ia merupakan resipi sempurna yang menyemarakkan maklumat palsu, memperdalam polarisasi dan penyahmanusiaan.”
Beliau menekankan kepentingan pelaporan bebas dan sokongan terhadap wartawan tempatan selain menyatakan wartawan antarabangsa mesti dibenarkan membuat liputan secara bebas dari Gaza dan menyokong rakan wartawan Palestin mereka yang terus menjalankan tugas secara berani walaupun berdepan risiko besar.
“Hampir 200 daripada mereka dilaporkan terbunuh sejak perang bermula,” katanya sambil menegaskan bahawa “larangan terhadap media antarabangsa mesti ditarik balik.”
Sementara itu, UNRWA pada Sabtu sekali lagi mengulangi gesaannya untuk kerjasama daripada kerajaan Israel berhubung dakwaan yang dikemukakan terhadap agensi itu, sambil menyatakan bahawa tiada bukti kukuh diberikan walaupun permintaan telah dibuat berulang kali.
“Selepas 20 bulan, UNRWA masih belum menerima sebarang maklum balas dan kerajaan Israel juga belum mengemukakan sebarang bukti yang mencukupi,” menurut kenyataan rasmi agensi berkenaan.
Agensi itu turut menegaskan komitmen berterusannya terhadap mandat kemanusiaan dengan menyatakan: “UNRWA kekal komited terhadap mandatnya dan bersedia menyalurkan bantuan kemanusiaan berskala besar di Gaza bersama agensi-agensi PBB lain.”
Israel, yang menolak gesaan antarabangsa untuk gencatan senjata, telah melancarkan serangan ketenteraan yang disifatkan sebagai genosid di Gaza sejak Oktober 2023, mengorbankan hampir 54,700 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. Agensi bantuan turut memberi amaran mengenai risiko kebuluran dalam kalangan lebih dua juta penduduk wilayah berkenaan.