SHAH ALAM: Dua lembu diberi nama ‘Upin’ dan ‘Ipin’ dengan masing-masing seberat 800 dan 780 kilogram (kg) antara 22 lembu sado akan dikorbankan pada Karnival Ibadah Qurban Tayyib Ranch 2025 sempena Aidiladha tahun ini.
Pengarah urusan syarikat ladang ternakan Tayyib Ranch Sdn Bhd Mohd Sakhedan Sidek berkata lembu sado daripada baka Limousine itu akan dikorbankan di tapak karnival di Stadium Shah Alam esok, selepas dijual pada harga RM20,000 dan RM25,000 kepada pembeli berlainan.
“Selain Upin dan Ipin, ibadah korban juga melibatkan lembu baka Brahman, Charolais, Blonde dan Black Angus berusia tiga hingga empat tahun dari Kelantan serta Terengganu, dengan berat antara 700 hingga 1,000 kg seekor yang dijual pada harga permulaan RM10,000 hingga RM45,000.
“Permintaan lembu sado untuk ibadah korban kian meningkat saban tahun memandangkan masyarakat semakin memahami konsep pemilihan haiwan korban terbaik,” katanya kepada Bernama di tapak karnival itu hari ini.
Mohd Sakhedan berkata lembu sado menjadi pilihan kerana mempunyai daging lebih banyak dan tergolong dalam kategori daging terbaik, menjadikannya sesuai untuk disedekahkan kepada golongan asnaf sebagai bekalan makanan berkualiti.
Beliau berkata secara keseluruhannya, sebanyak 100 lembu terlibat dalam pelaksanaan ibadah korban di tapak karnival pada esok hingga Ahad, bagi memberi peluang kepada orang ramai melihat kaedah pengurusan sembelihan dijalankan Tayyib Ranch.
Karnival Ibadah Qurban Tayyib Ranch 2025 berlangsung selama 10 hari hingga 8 Jun dan menawarkan lebih 100 lembu pada harga serendah RM4,000 hingga RM45,000 bergantung kepada jenis serta pakej ibadah korban dipilih.