PETALING JAYA: Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan keputusan mengenai usul penarikan semula penggantungan keahlian bekas Naib Presiden Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kepada Biro Politik dan Majlis Tertinggi (MT) UMNO.
Ahmad Zahid menjelaskan bahawa MT UMNO boleh membincangkan usul tersebut walaupun tiada surat rayuan atau permohonan maaf daripada individu terbabit.
“Biasanya, semua usul daripada bahagian akan dibawa ke jawatankuasa usul untuk disemak.
“Dalam kes UMNO Bahagian Sembrong, Menteri Besar Johor (Datuk Onn Hafiz Ghazi) ada menyatakan akan membawa perkara ini ke MT, jadi kita tunggu,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kuasa untuk menggantung atau menerima semula ahli terletak pada MT UMNO selaku badan tertinggi parti, terutamanya jika tiada Perhimpunan Agung.
Ahmad Zahid turut menekankan bahawa sebarang tindakan penggantungan keahlian dilaksanakan secara adil dan berasas.
Hishammuddin digantung keahlian selama enam tahun oleh MT UMNO pada 27 Jan 2023 kerana melanggar Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO.