JOHOR BAHRU: Pengurusan Surau Nurul Haq di Kampung Sungai Sayong 1, Kulai meluahkan rasa sedih dan terkilan dengan insiden van jenazah milik surau yang dicuri dan kemudian remuk teruk dalam kemalangan.
Bilal Surau Nurul Haq Zahiruzaman Saim berkata van jenazah itu diperoleh pihaknya daripada sebuah jabatan pada Disember tahun lepas melalui proses pelupusan harta dan belum sempat digunakan untuk pengendalian jenazah.
“Kami hanya sempat cat semula dan pasang pelekat tapi belum guna sepenuhnya sebab belum dipasang pengusung dan memang kami cadang untuk guna secara off-road sahaja, dalam kampung,” katanya.
Beliau berkata sebelum ini kariah di kawasan surau yang meliputi 30 keluarga menggunakan van jenazah daripada Masjid Kampung Murni Jaya sekiranya berlaku kematian untuk membawa jenazah ke tanah perkuburan.
Bagaimanapun adakalanya apabila berlaku kematian serentak, urusan jenazah menjadi sedikit lambat dan menyebabkan mereka mendapatkan ihsan rakan-rakan sesama kariah untuk menggunakan kenderaan peribadi.
“Pihak surau beranggapan bila sudah ada van jenazah ini tak perlulah nak minta ihsan tumpang guna kenderaan kawan-kawan yang besar, tak sangka jadi seperti ini, nak buat macam mana, benda dah berlaku,” katanya.
Walaupun reda dengan kejadian itu, beliau berkata pihaknya selepas ini akan berusaha mencari van terpakai bersesuaian untuk dijadikan sebagai van jenazah dan mengalu-alukan sekiranya ada pihak yang berhasrat menghulurkan sumbangan.
Seorang lelaki berusia 21 tahun ditahan polis selepas dipercayai mencuri van jenazah dan terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Skudai.
Ketua Polis Daerah Kulai ACP Tan Seng Lee berkata van jenazah jenis Toyota Hiace itu dipercayai dicuri antara 1 hingga 2 pagi sebelum kemalangan berlaku kira-kira 2.30 pagi. – Bernama