JOHOR BAHRU: Jumlah kenderaan asing yang menggunakan laluan darat antara Malaysia dan Singapura melalui Tambak Johor dan Linkedua kembali normal berikutan penguatkuasaan Permit Masuk Kenderaan (VEP) dilakukan secara berfasa bermula 1 Okt lepas.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata terdapat penurunan jumlah kenderaan asing di laluan tersebut pada Selasa dan Rabu lepas, namun keadaan kembali seperti sedia kala apabila kerajaan memberi jaminan bahawa tiada tindakan saman dikenakan terhadap kenderaan yang masih belum memasang VEP itu.

“Pada 1 dan 2 Okt kita menyaksikan penurunan kereta kerana orang ramai mungkin berasa bimbang tetapi pada 3 Okt saya sendiri turun dan memberi jaminan bahawa untuk fasa pertama ini kami hanya beri peringatan.

“Buat masa ini kita tidak beri tempoh masa secara spesifik (tidak dikenakan saman), ini kerana jika tempoh masa terlalu panjang orang ramai akan menunggu saat-saat akhir sebelum mendaftar,“ katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen DAP Johor di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi DAP Johor yang juga Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong .

Dalam pada itu, Loke mencadangkan supaya syarikat vendor VEP menambah lokasi pendaftaran bagi memudahkan permohonan dan mengelakkan kesesakan.

Pada Khamis lepas, beliau dilapor berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 112,658 tag Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) VEP kepada kenderaan bernombor pendaftaran Singapura setakat 30 Sept.

Beliau dipetik sebagai berkata pemilik kenderaan Singapura diseru segera mendaftar, memasang dan mengaktifkan tag RFID VEP bagi mengelakkan sebarang kesulitan semasa masuk dan keluar dari Malaysia.

Pelaksanaan penguatkuasaan tersebut adalah selaras dengan Subseksyen 66H (7) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) iaitu menjadi kesalahan bagi mana-mana orang yang memandu kenderaan motor asing tanpa permit sebelum memasuki atau berada dalam Malaysia.

Pendaftaran dan maklumat lanjut berkenaan tag RFID VEP boleh dilakukan melalui laman sesawang https://vep.jpj.gov.my.

Untuk rekod, dianggarkan 400,000 pengembara berulang alik setiap hari di kedua-dua pintu masuk selatan tanah air itu termasuk dengan menggunakan perkhidmatan bas, kereta dan motosikal.

Sementara itu, Loke yang juga Setiausaha Agung DAP ketika berucap pada konvensyen itu berkata pelancaran operasi kontena di Pelabuhan Tanjung Langsat di sini bakal melonjakkan pertumbuhan Johor sebagai kuasa ekonomi terbesar di negara.

Beliau berkata pembangunan itu antara projek penting yang menjadikan Johor sebagai satu-satunya negeri di Semanjung yang mempunyai tiga pelabuhan kontena selain Pelabuhan Pasir Gudang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas.

Pada Jumaat lepas media melaporkan Johor Corporation (JCorp) melalui anak syarikatnya JLand Group (JLG), secara rasmi melancarkan operasi kontenanya di Pelabuhan Tanjung Langsat yang merupakan satu pencapaian penting yang bakal mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam industri minyak, gas dan logistik di persada global.

Open Two Websites with Image

Clickable Image