Your Title

SEREMBAN: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan (JPVNS) melaksanakan aktiviti nyahkuman di lokasi pembuangan sisa babi haram di kawasan Site A Tanah Merah, Port Dickson pada 13 Feb lepas.

JPVNS dalam kenyataan memaklumkan tindakan itu dilakukan bagi mengelakkan penyebaran penyakit haiwan yang dikorek oleh haiwan liar lain di lubang buangan sisa babi itu.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan oleh JPVNS pada 3 petang mendapati terdapat beberapa lubang yang digunakan untuk menanam sisa babi dan ada sisa yang ditarik keluar oleh haiwan liar.

“Kami telah meminta ketua kampung untuk menasihati pemilik tanah supaya menutup lubang itu dengan segera bagi mengelakkan penyebaran penyakit yang berpotensi disebabkan oleh haiwan liar yang memakan atau menarik sisa babi terbabit,“ menurut kenyataan itu di sini hari ini.

JPVNS menjelaskan walaupun tiada undang-undang secara langsung yang mengawal aktiviti pembuangan sisa babi secara haram, langkah sanitasi dan pemantauan terhadap pemindahan khinzir tanpa permit akan terus dilaksanakan.

Amaran tegas turut diberikan kepada pemilik tanah supaya tidak mengulangi kesalahan itu dan tindakan undang-undang akan diambil sekiranya kejadian serupa berulang, menurut kenyataan itu.

Terdahulu, pada 13 Feb lepas, JPVNS menerima aduan mengenai bau busuk dan potensi risiko kesihatan akibat pembuangan sisa khinzir di kawasan berkenaan dan siasatan dijalankan mengesahkan kewujudan lubang untuk tujuan itu.