• 2025-07-12 07:43 PM

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan mengekalkan waktu bekerja 42 jam seminggu bagi petugas kesihatan yang bekerja syif akan memastikan kualiti perkhidmatan awam kekal pada tahap terbaik.

Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat, menyifatkan langkah ini sebagai keputusan yang penuh hikmah dan selari dengan semangat Malaysia MADANI.

“Langkah ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan mendengar dan memahami suara serta kebimbangan yang disuarakan oleh kesatuan sekerja dan petugas kesihatan,“ katanya dalam kenyataan.

JPA sebelum ini memaklumkan kerajaan bersetuju memberikan pengecualian terhadap pelaksanaan waktu bekerja syif 45 jam seminggu kepada lima skim perkhidmatan kritikal di bawah KKM. Pengecualian ini melibatkan 82,637 petugas barisan hadapan termasuk jururawat, pegawai perubatan, dan pembantu perawatan.

Adnan turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana memberi ruang kepada rundingan dengan kesatuan sekerja dalam membuat keputusan dasar. “Kami akan terus komited memperjuangkan kebajikan penjawat awam,“ tegasnya. - Bernama