KUANTAN: Seorang wanita yang berada di dalam kereta ketika mengikuti suaminya memancing dikhuatiri lemas dihanyutkan arus deras selepas kenderaan berkenaan terjatuh ke dalam Sungai Triang berhampiran Bandar Baru Bera, tengah hari tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 1.58 tengah hari sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Triang bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau berkata saksi memaklumkan yang wanita berusia 31 tahun itu berada di dalam kereta jenis Perodua Bezza bersama anak perempuannya berusia setahun sebelum kenderaan itu secara tiba-tiba bergerak lalu terjatuh ke dalam sungai.

“Suami mangsa sempat menyelamatkan anak mereka yang berada di dalam kereta, namun wanita berkenaan dipercayai dihanyutkan arus deras ketika cuba menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat dijalankan melibatkan 11 anggota, terdiri daripada enam anggota BBP Triang selain lima anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Bukit Angin.