TANGKAK: Seorang warga emas berusia 60 tahun yang memiliki 39 rekod kesalahan lampau berkaitan pecah rumah berjaya ditahan di sebuah pangsapuri di Taman Kesidang, Melaka, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Supt Roslan Mohd Talib, berkata suspek ditahan pada 3.10 petang selepas polis menerima maklumat dan melakukan risikan.
“Suspek menyasarkan rumah mewah kosong dan dipercayai aktif melakukan kegiatan ini sejak Mac lalu,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Polis menemui pelbagai barangan curi termasuk 19 beg tangan berjenama, jam tangan mewah, dan wang tunai dalam pelbagai mata wang seperti dolar Singapura (SGD) dan dolar Amerika Syarikat (USD).
Selain itu, beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk pecah rumah seperti pemutar skru, sarung tangan, dan lampu suluh turut dirampas.
“Sebuah kereta Hyundai Getz yang dipercayai digunakan dalam jenayah turut dirampas. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM300,000,“ jelas Roslan.
Dengan penahanan ini, polis percaya sekurang-kurangnya lapan kes pecah rumah di sekitar Bukit Gambir, Sungai Mati, dan Tangkak berjaya diselesaikan.
Suspek didapati negatif dadah dan kini disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.