Your Title

IPOH: Lelaki warga emas yang lumpuh ditemukan rentung dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah kedai dua tingkat di Kampung Baru, Ayer Tawar dekat Manjung, malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Tawar dengan bantuan BBP Sitiawan dan Manjung bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada 11.41 malam.

Beliau berkata operasi menyelamat itu turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela dari Ayer Tawar, Pekan Baru, Teluk Intan dan Pantai Remis.

“Mangsa dikenali sebagai Loo Leng Wion berusia 90 tahun yang lumpuh ditemukan pada 3.35 pagi berhampiran dengan pintu bilik di tingkat atas rumah kedai berkenaan,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Sabarodzi berkata operasi pemadaman kebakaran itu masih berterusan sehingga kini. - Bernama