IPOH: Air mata dan rasa hiba rakyat Malaysia terutama warga Perak mengiringi perjalanan ‘pulang’ 13 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam kemalangan maut di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik ke kampung halaman masing-masing malam tadi.

Rasa sedih itu dizahirkan warga Perak yang sanggup berjaga dan setia menanti sepanjang jalan raya bagi memberi penghormatan terakhir kepada konvoi yang membawa jenazah semua penuntut berkenaan dari Ipoh ke Jertih, Terengganu.

Konvoi itu bergerak dari Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada 8.55 malam melalui JRTB Gerik-Jeli dengan diiringi Kontinjen Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak dan Kelantan serta warga UPSI.

Sepanjang laluan dari Ipoh ke Kuala Kangsar, kemudian melalui Lenggong menghala ke pekan Gerik kelihatan penduduk berada di tepi jalan merakam detik-detik perjalanan konvoi itu, yang kemudian turut berkongsi detik-detik pilu berkenaan di media sosial masing-masing.

Menerusi komen-komen di video yang dimuat naik itu, rata-rata warga maya meluahkan perasaan sedih dan sebak, selain turut menitipkan doa agar konvoi berkenaan selamat sampai ke destinasi, roh-roh jenazah ditempatkan dalam kalangan yang beriman dan dimasukkan ke dalam syurga.

“Dari Ipoh, merambu air mata, Allahu tak kuat walaupun bukan keluarga tapi saudara Islam,” komen seorang netizen Saira Begum.

Seorang lagi netizen Suhaimi Abdul Rahman memberi komen: “Allahuakbar... Mengalir air mataku di pagi ini... Terbayangkan jika itu anak-anak ku, Ya Allah... Tempatkanlah anak-anak ini di darjat yang tertinggi... Sesungguhnya mati itu pasti...”

Terdahulu, dua jenazah penuntut UPSI yang dibedah siasat di Hospital Gerik iaitu Muhammad Adib Hazim Halim, 21, dan Wan Nur Suhaila Wan Muhammad, 22, dibawa keluar dari Unit Forensik hospital berkenaan pada 6.25 petang semalam setelah dituntut oleh keluarga masing-masing.

Jenazah mereka dibawa pulang ke kampung halaman di Terengganu dengan van jenazah UPSI dan Universiti Utara Malaysia (UUM) yang diiringi kenderaan polis untuk dikebumikan.

Sementara 13 jenazah lagi yang selesai dibedah siasat lewat petang semalam di Jabatan Forensik HRPB di sini dibawa pulang ke Terengganu dan Kelantan secara konvoi kira-kira 8.55 malam dan sampai ke Masjid Al-Hadhari, Jertih Terengganu pada 2.55 pagi untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di sekitar Terengganu dan Kelantan.

Mereka ialah Sufea Adela Maslihaizan, 21; Mohammad Aqil Taqiudin, 21; Anis Soffiyya Md Zaidi, 20; Nur Ainul Qistina Mat Ali, 21; Fakhrul Arif Rosdi, 20; Nurul Fatihah Abu Setaman, 22; Nur Dalila Farhana Mohamad Isma, 21; Nurul Izyanti Muhamad Azahar, 21; Nur Amni Nadiah Nik Nor Zabir, 21; Muhammad Mustaqim Rosde, 21; Nor Ayuni Maslan, 21; Nurly Sahirah Azman, 23, dan Fatin Nasrien Fadli, 22.