ISKANDAR PUTERI: Ketua Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) Xisco Munoz menggesa barisan pemainnya lebih konsisten dan berdisiplin terutama di bahagian pertahanan walaupun mencatat kemenangan 5-3 ke atas Negeri Sembilan FC dalam aksi Liga Super 2025/2026 di Stadium Sultan Ibrahim.
Munoz mengakui JDT memulakan perlawanan dengan agak perlahan sekali gus membenarkan pasukan lawan melakukan serangan balas yang mendedahkan kelemahan pertahanan.
“Hari ini pemain sedikit leka dalam lima minit pertama dan memberi ruang lawan menjaringkan gol menerusi serangan balas...kita perlu lebih konsisten, kuat di kedua-dua bahagian dan keutamaan adalah tanpa bolos,” katanya dalam sidang media.
Jurulatih dari Sepanyol itu turut menekankan kepentingan untuk pemain belajar daripada situasi sebegitu dan menyesuaikan diri sepanjang liga.
“Saya rasa sekarang kita masih di peringkat awal liga dan kita perlu belajar daripada situasi ini, kita perlu faham apa yang perlu dilakukan bila bermain di laman sendiri, bila bermain di tempat lawan,” katanya.
Munoz berkata Negeri Sembilan telah memanfaatkan kelajuan mereka di bahagian tengah, kiri dan kanan manakala JDT pula dilihat tidak bersedia dalam situasi pertahanan ketika sepakan percuma.
“Gol pertama berpunca daripada serangan balas... bahagian sayap mereka sangat laju dan kita sebenarnya telah bersedia dalam latihan untuk situasi seperti ini,” katanya.
Beliau juga menggesa pemainnya agar lebih tenang ketika serangan sambil menekankan keperluan untuk membuat keputusan lebih baik di kawasan lawan.
Walaupun bolos tiga gol, beliau tetap memuji serangan JDT dengan menghasilkan 25 percubaan ke arah gol dan beberapa sepakan sudut.
Beliau berkata antara pemain yang menyerlah termasuk Jon Irazabal, yang menjaringkan dua gol, selain Jaoa Figueiredo dan Arif Aiman Mohd Hanapi.
Pemain gantian Bergson da Silva memastikan kemenangan menerusi jaringan cantik pada masa tambahan.
Aksi bertenaga JDT turut disokong oleh kehadiran penyokong tuan rumah yang begitu bersemangat.
Munoz mengakui jumlah penyokong terjejas disebabkan hari bekerja.
“Saya harap perlawanan seterusnya akan ada lebih ramai penyokong hadir beri sokongan tetapi memang agak sukar untuk meluangkan masa apabila bermain pada hari-hari seperti ini,” katanya. - Bernama