KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan berangkat mengiringi keberangkatan pulang Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang.

Menurut hantaran di laman rasmi Facebook Sultan Ibrahim, Seri Paduka Baginda berkenan memandu sendiri Sultan Hassanal Bolkiah ke Pangkalan Udara Subang.

“KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Brunei dan isteri Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha merupakan antara tetamu jemputan Diraja dari luar negara bagi Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-17, yang berlangsung semalam (20 Julai),” menurut hantaran tersebut.

Turut hadir Menteri Komunikasi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong Fahmi Fadzil.

Terdahulu, Sultan Hassanal Bolkiah bersama Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berkenan berangkat ke Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara, semalam.

Selain itu, Sultan Hassanal Bolkiah turut berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu negara antara lain membincangkan tentang kemajuan kerjasama Malaysia dan Brunei.