JOHOR BAHRU: Sebanyak 500 pelajar Kolej Universiti Selatan masing-masing menerima bantuan pendidikan RM2,000 hari ini menerusi peruntukan RM1 juta yang disalurkan oleh Yayasan Sultanah Fatimah (YSF).
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri Ling Tian Soon berkata inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri untuk membantu golongan mahasiswa, khususnya dalam kalangan keluarga B40.
“Sebanyak 95 peratus daripada penerima bantuan hari ini adalah anak Johor dan ini menunjukkan kerajaan negeri menjaga kebajikan semua lapisan masyarakat di negeri ini,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan cek di institusi berkenaan di sini hari ini.
Beliau berkata kerajaan negeri memperuntukkan dana kepada YSF sebagai pemegang amanah untuk menyalurkan bantuan kepada pelajar secara langsung, selaras dengan pengumuman Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam Belanjawan Johor 2025 pada November tahun lepas.
“Inisiatif ini sudah memasuki tahun kedua. Kita turut meminta pihak universiti menyalurkan bantuan ini kepada pelajar daripada keluarga B40 bagi meringankan beban yuran pengajian mereka, yang lazimnya lebih tinggi berbanding institusi pengajian tinggi awam,” katanya.
Turut hadir Pengerusi YSF Mejar Cina Negeri Johor Datuk David Wong Khong Soon.
Bantuan itu disampaikan oleh Wong kepada Pengerusi Lembaga Pengarah Kolej Universiti Selatan Datuk Vincent Tan Meng Seng.
Ling turut memuji kerjasama erat pihak kolej dengan kerajaan negeri dalam melahirkan graduan yang berkemahiran dan berdaya saing selaras dengan keperluan industri serta pembangunan pesat di Johor.
“Kita perlukan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran teknikal, dan institusi seperti Kolej Universiti Selatan memainkan peranan penting dalam memenuhi keperluan itu,” katanya.