• 2025-08-17 09:07 PM

JOHOR BAHRU: Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) menyalurkan bantuan baik pulih kediaman kepada dua keluarga di Mersing yang ditimpa musibah akibat kerosakan rumah.

Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, kunci bagi rumah dibina baharu itu diserahkan Ketua Pegawai Eksekutif YSIJ Mohd Anizam Jamian kepada dua penerima, Alim Mahroji dan Zuraidi Abd Razak pada Jumaat lepas.

Majlis penyerahan kunci itu disaksikan Pegawai Daerah Mersing Jamil Hasni Abdullah.

Alim, 35, berkata dia bersyukur apabila rumahnya yang ranap akibat dirempuh sebuah bas ekspres pada April, dibina semula dengan wajah baharu.

“Pada awalnya saya buntu melihat keadaan rumah, tambahan pula dua kereta turut hancur (dalam kejadian itu). Dengan pendapatan sebagai pengawal keselamatan, kos pembaikan rumah sudah tentu menelan belanja besar.

“Saya amat lega apabila YSIJ tampil menghulurkan bantuan. Sesungguhnya ini rezeki buat kami sekeluarga, apatah lagi isteri melahirkan anak keempat beberapa hari selepas kejadian,” katanya kepada Royal Press Office (RPO).

Sementara itu, Zuraidi, 35, berkata mereka sekeluarga dapat mendiami rumah baharu yang jauh lebih selesa berbanding sebelum ini, yang terbakar akibat litar pintas pada Ogos tahun lepas.

Pada majlis sama, YSIJ turut menyumbangkan 500 bakul makanan kepada penduduk mukim Padang Endau di Dewan Serbaguna Tok Mior, Kampung Air Tawar dan 500 bakul makanan bagi mukim Jemaluang di Dewan Terbuka Kampung Sri Pantai- BERNAMA