• 2025-10-05 10:18 AM

SERDANG: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Turkiye dan Presiden Recep Tayyip Erdogan kerana membantu Malaysia dalam urusan membawa pulang 23 aktivis Global Sumud Flotilla yang sebelum ini ditahan rejim Zionis.

Ahmad Zahid berkata Erdogan telah memberikan komitmen dalam menyelesaikan isu berkenaan dengan membenarkan penggunaan Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul bagi membawa rakyat Malaysia dari Israel sebelum kembali ke tanah air.

Beliau turut mengucapkan terima kasih atas usaha yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan yang meminta jasa baik Turkiye untuk membantu aktivis Malaysia.

Ahmad Zahid berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Malam Kilauan Mutiara Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi di Universiti Putra Malaysia.

Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby memaklumkan kesemua delegasi Malaysia itu selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul pada 8.40 malam waktu Malaysia semalam.

Kesemua delegasi berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang Ramon, Israel pada 6.40 petang menggunakan pesawat komersial Turkish Airlines yang diurus dan ditaja sepenuhnya oleh kerajaan Turkiye.

Sementara itu, mengulas mengenai pelan damai terkini di Gaza, Ahmad Zahid berkata 20 perkara dalam syarat pelan itu walaupun sebahagiannya diterima Hamas, banyak lagi perincian yang tidak seharusnya berat sebelah.

Beliau menekankan bahawa yang penting bukan hanya pengiktirafan dan pewujudan negara Palestin, tetapi juga hak rakyat Palestin mesti dikembalikan sepenuhnya.

Ahmad Zahid menegaskan Palestin mesti ditadbir oleh rakyat Palestin sendiri, bukan oleh mana-mana pihak atau individu atau mana-mana negara dan melakukan penyelarasan pentadbiran di negara berkenaan.

Terdahulu, Hamas hari ini dilaporkan menerima sebahagian daripada 20 perkara yang terkandung dalam pelan damai dikemukakan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Pelan itu antara lain turut merangkumi pembebasan semua tawanan Israel dalam tempoh 72 jam selepas kelulusan pelan, sebagai pertukaran kepada pembebasan ratusan tahanan Palestin dari penjara Israel.

Selain itu, pelan berkenaan menetapkan penghentian permusuhan, pelucutan senjata semua kumpulan bersenjata di Gaza serta pengunduran berperingkat Israel dari wilayah terbabit, yang kemudiannya akan ditadbir pihak berkuasa teknokrat. – Bernama