TERINGIN untuk melawat Moo Deng si badak air tular di Thailand tetapi terlalu jauh?

Kini, rakyat Malaysia hanya perlu pergi ke Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) untuk melihat sendiri aksi comel dan gelagat lucu seekor anak badak air yang telah pun diumumkan oleh ZTNS baru-baru ini.

Melalui pengumuman kelahiran tersebut, pihak zoo juga telah memberitahu bahawa anak badak air jantan itu dilahirkan pada 5 Jun tahun ini kepada pasangan badak air dewasa iaitu Lek, 32 dan April, 22.

“Ibu anak badak air ini, Lek, berusia 32 tahun dan berasal dari Zoo Bangkok, manakala bapanya, April, berusia 22 tahun dan dilahirkan di ZTNS.

“Sebelum ini, Lek pernah melahirkan seekor badak air pada tahun 2016 yang diberi nama Atan. Dengan kelahiran baharu ini, ZTNS kini mempunyai empat ekor badak air,” kata mereka menerusi satu hantaran di Facebook.

Bagi mereka yang masih belum mengenali Moo Deng, ia adalah seekor anak badak air yang tinggal di sebuah zoo di Thailand.

Moo Deng telah menjadi fenomena and sangat tular di media sosial selepas penjaganya menyiarkan telatahnya di halaman media sosial zoo itu.

Dengan populariti Moo Deng, beribu-ribu orang telah melawat Khao Kheow Open Zoo untuk melihat Moo Deng.

Selain itu, pihak zoo juga turut mengumumkan kelahiran 16 anak kura-kura Sulcata, dan menganggapnya sebagai kejayaan berikutan usaha pihak zoo dalam membiakkan spesies itu buat kali pertama.

ZTNS juga memberi jaminan bahawa kura-kura itu kini dikuarantin dan di bawah pengawasan ketat untuk memastikan kesihatan dan perkembangan mereka berjalan lancar sebelum mendedahkan kura-kura tersebut kepada pengunjung.

Pelbagai reaksi diberikan oleh netizen dengan pengumuman oleh ZTNS, malah terdapat juga yang mencadangkan beberapa nama untuk badak air berusia lima bulan itu.

Rata-rata netizen juga menyatakan keterujaan mereka kerana akhirnya dapat melihat Moo Deng versi Malaysia.