PUTRAJAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) dan National Bank of Cambodia (NBC) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) pada Selasa untuk mengukuhkan kerjasama dalam inovasi kewangan dan pembayaran.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet menyaksikan pertukaran MoU itu yang ditandatangani oleh Gabenor BNM Abdul Rasheed Ghaffour dan Gabenor NBC Chea Serey.

BNM dan NBC dalam satu kenyataan bersama berkata MoU itu akan menggalakkan kerjasama lebih erat antara kedua-dua bank pusat tersebut untuk memacu inovasi kewangan dan memastikan pembayaran rentas sempadan yang lebih cekap dan selamat bagi manfaat individu dan perniagaan di kedua-dua negara.

“Hal ini termasuk menghubungkan sistem pembayaran domestik di Malaysia dan Kemboja untuk membolehkan pembayaran kod QR rentas sempadan,” kata kenyataan itu.

BNM berkata kerjasama itu juga bertujuan untuk menggalakkan penggunaan penyelesaian pembayaran dalam mata wang tempatan serta menyokong penubuhan mekanisme pengawasan bersama bagi pembayaran rentas sempadan yang lebih selamat.

“MoU ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam inisiatif ASEAN Regional Payment Connectivity dan juga sejajar dengan Pelan Hala Tuju G20 untuk mempertingkatkan kecekapan pembayaran rentas sempadan.

“Pencapaian ini seterusnya akan memudahkan aktiviti perdagangan dan pelancongan rentas sempadan antara Malaysia dengan Kemboja. Sehingga lima juta peniaga, termasuk perniagaan kecil, yang menerima pembayaran QR di kedua-dua negara dijangka mendapat manfaat daripada kerjasama ini,” kata bank pusat.

Dalam sidang media bersama hari ini, Anwar berkata MoU antara kedua-dua bank pusat itu suatu yang bermakna kerana ia merupakan salah satu usaha bagi menangani isu atau masalah dengan mata wang.

“Kita mencapai kejayaan dengan China dengan 25 peratus daripada jumlah perdagangan kita adalah dalam mata wang tempatan kita, dengan Thailand pada 18 peratus dan dengan Indonesia pada 20 peratus.

“Dengan Kemboja, saya fikir menggunakan mata wang tempatan sudah tentunya akan mengurangkan beban dan tekanan terikat hanya kepada dolar AS,“ kata Anwar.

Sementara itu, Abdul Rasheed berkata kerjasama tersebut akan mengukuhkan lagi kerjasama BNM dengan NBC yang telah lama wujud demi manfaat bersama individu dan perniagaan di kedua-dua negara.

“Hal ini juga memberikan dorongan untuk memacu inovasi yang lebih meluas dan memperkukuh integrasi kewangan dalam menyokong pembangunan ekonomi serantau,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Sementara itu, Chea Serey berkata MoU itu merupakan satu langkah penting dalam mempertingkat kerjasama antara kedua-dua bank pusat.

“Menerusi MoU ini, NBC dan BNM akan bekerjasama untuk memacu inovasi kewangan dan menambah baik sistem pembayaran kod QR rentas sempadan bagi merangsang aktiviti perdagangan dan rangkuman kewangan di kedua-dua negara serta menggalakkan penggunaan mata wang tempatan sejajar dengan objektif ASEAN,” katanya.

MoU itu ditandatangani sempena lawatan sulung Hun Manet ke Malaysia. Beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Kemboja pada Ogos 2023 bagi menggantikan bapanya Hun Sen. -Bernama