LANGKAWI: Kehebatan pertunjukan udara sempena penganjuran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA ‘23) tidak hanya bersandarkan kepada kecekapan pengemudi jentera udara, namun ia juga bergantung kepada kelancaran pihak yang mengawal operasi pergerakan udara.
Antara yang turut memainkan peranan penting dalam menjayakan pertunjukan udara adalah Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Kapten Norazman Mahmud berkata pelan perancangan bagi sesuatu pertunjukan udara telah disiapkan dalam tempoh setahun oleh pihaknya bersama pasukan yang terlibat.
Beliau berkata setiap kali penganjuran LIMA, pastinya ada perkara baharu yang boleh dipelajari dan segala perancangan serta prosedur operasi standard yang ditetapkan tidak boleh bersifat kekal dan mesti berubah mengikut keadaan semasa hari pertunjukan.
“Benda baharu yang kita belajar di setiap pertunjukkan udara LIMA menjadi perkara yang perlu diperbaiki pada penganjuran tahun berikutnya,“ katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama di sini, baru-baru ini.
Menurutnya kawalan ruang udara ketika pertunjukan berlangsung akan diserahkan sepenuhnya kepada pihak Tentera Udara Diraja Malaysia, dan antara cabaran yang dikenal pasti adalah isu komunikasi yang melibatkan pasukan tentera udara negara lain yang mengambil bahagian dalam pertunjukan aerobatik.
Menyedari keadaan ini, Norazman berkata keterlibatan mereka di Pusat Kawalan Udara CAAM, membolehkan maklumat terkini pergerakan di ruang udara disampaikan dengan cepat dan tepat.
“Masalah komunikasi biasanya menjadi cabaran terbesar apabila ada pihak tidak mendapat maklumat terkini secepat mungkin, dan kehadiran mereka di pusat ini membolehkan kedua-dua pihak memahami keperluan dan kemahuan masing-masing berdasarkan situasi semasa pertunjukkan berlangsung,“ katanya.
Selain itu, katanya faktor semula jadi menjadi salah satu cabaran antaranya keadaan cuaca hujan ketika ruang udara ditutup, memaksa jadual persembahan bagi setiap pasukan dianjak atau dikurangkan daripada masa yang telah ditetapkan.
Dalam pada itu, mengulas berkenaan Pegawai Trafik Udara di bawah kendalian CAAM, Norazman berkata kecekapan mereka mengendalikan pergerakan keluar masuk kapal terbang komersial bukan sahaja menjadi kunci kepada kelancaran pertunjukan udara, tetapi juga bagi penganjuran LIMA secara keseluruhannya.
“Cabaran utama adalah memastikan kesemua kapal terbang komersial termasuk kapal terbang tambahan yang bergerak masuk dan keluar dari ruang udara Langkawi memperoleh masa yang mencukupi.
“Tugas ini menjadi lebih mencabar apabila ruang apron (tempat parkir pesawat) yang berkurang daripada 18 kepada enam di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA),” katanya.
Dalam pada itu, Norazman berkata keselamatan setiap penerbangan pula merupakan fokus utama pegawai yang bertugas, dengan memastikan penerbangan komersial tidak menunggu terlalu lama untuk masuk atau keluar di ruang udara pulau tersebut.
Ruang udara Langkawi akan ditutup selama dua jam bagi memberi laluan kepada pertunjukan udara bermula 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang sepanjang berlangsungnya LIMA ‘23 bermula 23 Mei hingga Sabtu ini. -Bernama