KOTA SAMARAHAN: Penubuhan Jawatankuasa Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi menilai semula inisiatif dan dasar sedia ada berkaitan pembelajaran STEM negara akan dimuktamadkan tahun ini, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Chang Lih Kang.
Beliau berkata jawatankuasa khas yang akan ditubuhkan itu akan turut menetapkan sasaran penglibatan bidang STEM dalam kalangan pelajar sekolah menengah selain merangka agenda bagi memperkasa bidang itu di Malaysia untuk jangka masa pendek, sederhana dan panjang.
“Perbincangan bersama Ketua Setiausaha kementerian terlibat bagi usaha ini sudahpun diadakan dan selepas ini kita akan adakan mesyuarat membabitkan kementerian sebelum melaksanakan penubuhan jawatankuasa ini sepenuhnya.
“Isu penglibatan STEM adalah isu merentas kementerian, maka kita perlu mengendalikan dan menyelesaikannya melalui kerjasama merentas kementerian. Kita telah adakan beberapa sesi pra majlis dengan beberapa kementerian antaranya Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Minggu Sains Negara 2023 Peringkat Sarawak dan Malaysia Techlympics 2023 peringkat Zon Sarawak di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan inisiatif berkenaan perlu dilaksanakan berikutan statistik menunjukkan terdapat penurunan minat dalam kalangan pelajar lepasan sekolah yang mengikuti bidang STEM, trend yang membimbangkan kerana Malaysia dalam usaha menuju ke arah negara maju menjelang 2030.
Dalam pada itu, Chang berkata penyertaan Sarawak bagi Malaysia Techlympics 2023 yang bertujuan mencungkil bakat serta memupuk generasi muda ke arah STEM serta Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) telah mencatatkan peningkatan hampir tiga kali ganda berbanding tahun lepas.
“Ini adalah petanda yang sangat baik, jadi pada masa akan datang, kerajaan Sarawak sememangnya boleh mencapai 60 peratus pelajar STEM dan kita Kerajaan Pusat akan sokong,” katanya.
Terdahulu, dalam ucapannya, Chang berkata sebanyak 63,589 peserta melibatkan pelajar sekolah rendah dan menengah menyertai program berkenaan, berbanding 20,319 peserta pada 2022.
Penganjuran Malaysia Techlympics 2023 Peringkat Zon Sarawak yang diadakan di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) merupakan zon keempat selepas Zon Utara, Zon Sabah dan Zon Tengah sebelum diteruskan di peringkat, Selatan dan Timur.
Karnival Minggu Sains Negara 2023 Peringkat Sarawak pula adalah karnival ketujuh selepas Negeri Sembilan, Kedah, Johor, Pulau Pinang, Sabah dan Selangor yang telah bermula secara berperingkat pada 17 April lepas dan berlangsung hingga bulan depan. -Bernama