KUCHING: Tiada kes varian Lambda (C.37) Covid-19 dikesan di Sarawak setakat ini, menurut Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Pengarah IHCM Prof Dr David Perera dalam kenyataan hari ini berkata sehubungan itu, rakyat di negeri ini tidak perlu berasa bimbang.

Beliau berkata IHCM komited untuk menjalin kerjasama rapat dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak melalui analisis penjujukan genom Covid-19 institut itu untuk memaklumkan kepada orang ramai mengenai kemasukan sebarang varian baharu ke Sarawak.

Bagaimanapun, kami ingin memberi nasihat kepada orang ramai betapa pentingnya mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Ini bagi mengelakkan sebarang peningkatan penularan virus yang berpotensi membawa kemunculan varian baharu. Ia menjadi lebih penting kerana kita akan beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya.

Dr Perera berkata sampel Lambda yang paling awal didokumenkan adalah dari Peru pada bulan Disember 2020.

“Sehingga kini, varian ini telah dikesan terutamanya di Amerika Selatan, Amerika Syarikat, Eropah dan baru-baru ini di India,” katanya.

Sejak penularan Covid-19 pada tahun lepas, IHCM berada di barisan hadapan dalam memerangi pandemik itu di negeri ini.

Ia ditugaskan untuk menguji sampel dan analisis penjujukan genom untuk mengesan perubahan virus.

-Bernama