• 2025-07-12 11:57 AM

IPOH: Ribuan ikan tilapia hitam yang ditemui mati di Sungai Kinta pada 30 Jun lalu dipercayai bukan mati akibat pencemaran, tetapi dibuang ke dalam sungai oleh pihak tidak bertanggungjawab. Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak Teh Kok Lim berkata siasatan mendapati ikan-ikan itu mungkin berasal dari kolam ternakan.

“Ikan yang mati kelihatan seragam dan bukan jenis ikan liar. Kami mengesyaki ia sengaja dibuang ke dalam sungai, bukan mati akibat pencemaran,“ katanya. Ujian kualiti air oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) menunjukkan bacaan dalam julat baik tanpa tanda pencemaran yang boleh membunuh hidupan akuatik.

Kejadian itu tular selepas sebuah video menunjukkan ribuan bangkai ikan di Sungai Kinta berhampiran Kuil Guan Yin, Ipoh. Teh menegaskan perbuatan membuang bangkai ikan ke sungai adalah tidak bermoral dan merosakkan ekosistem.

“Penternak perlu bertanggungjawab melupuskan bangkai ikan dengan betul, seperti menanamnya, bukan membuang ke sungai,“ katanya.

Pengarah Perikanan Perak Mohd Ghazali Manap berkata pihaknya bertindak pantas mengeluarkan bangkai ikan bagi mengelakkan pencemaran sekunder. Siasatan lanjut dijalankan untuk mengenal pasti pihak terlibat.

“Kami harap orang ramai, terutamanya pengusaha akuakultur, lebih bertanggungjawab dalam mengurus sisa ternakan,“ katanya - BERNAMA