KUALA LUMPUR: Pemberian Bantuan Khas Penghargaan kepada penjawat awam, termasuk pesara, dilihat sebagai komitmen awal kerajaan terhadap usaha untuk menyemak semula gaji perkhidmatan awam dalam masa yang terdekat.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Adnan Mat (gambar) berkata pemberian bantuan khas itu adalah manifestasi penghargaan kerajaan kepada sumbangan penjawat awam terhadap kemajuan negara.

“Sebagai penjawat awam, Cuepacs dan seluruh warga perkhidmatan awam akan terus berusaha gigih untuk menyokong hasrat kerajaan melaksanakan pembaharuan dalam urusan pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Peluncuran “Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat” hari ini berkata kerajaan akan menyediakan bantuan khas penghargaan RM300 seorang kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah.

Beliau turut mengumumkan bantuan RM200 seorang kepada pesara kerajaan termasuk pesara berpencen, penerima pencen terbitan, pesara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pesara bersara pilihan dan belum menerima pencen, veteran berpencen serta veteran tidak berpencen.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata bantuan khas itu diumumkan sementara kajian gaji dan elaun diperincikan dan bayaran bantuan berkenaan dijangka dibuat dalam tempoh dua minggu dari sekarang.

Sehubungan itu, Adnan berkata Cuepacs yakin usaha dan inisiatif lain yang dirancang oleh kerajaan akan memberi manfaat kepada rakyat, namun ruang dan masa yang cukup perlu diberikan kepada perdana menteri supaya dapat memacu negara ke arah yang lebih baik.

Bagaimanapun, katanya Cuepacs berharap kerajaan tidak melengahkan kajian semakan gaji perkhidmatan awam seperti yang dimaklumkan oleh Anwar sebelum ini termasuk mengenai pelarasan semula elaun-elaun tetap yang patut diterima oleh penjawat awam.

“Cuepacs berharap perkara ini dapat diumumkan Perdana Menteri dalam masa terdekat memandangkan ia sudah menjadi pertanyaan dalam kalangan penjawat awam. Usaha ini dapat memastikan manfaat tersebut dinikmati oleh penjawat awam yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.

“Apatah lagi sistem saraan perkhidmatan awam ketika ini masih menggunakan Sistem Saraan Malaysia yang telah dilaksanakan sejak 1 Nov 2002 dan hanya ditambah baik sahaja. Sudah tiba masanya skim gaji ini disemak semula mengikut persekitaran ekonomi semasa agar ia relevan dengan peningkatan kos sara hidup ketika ini,” katanya. -Bernama