KUALA LUMPUR: Dua wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang di sini hari ini atas pertuduhan merompak wang tunai RM300,000 milik seorang lelaki, dua minggu lepas.

Zarina Sinin, 54, dan Safiah Ibrahim, 59, bersama-sama lima lagi yang masih bebas didakwa melakukan rompakan berkumpulan dengan bersenjatakan objek menyerupai pistol dan penyembur lada terhadap Hardev Singh Gill, 27, dan telah mengambil wang tunai berjumlah RM300,000 milik mangsa.

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu pada 1 tengah hari, 15 Mac lepas, di tepi jalan di Taman Melawati, Ampang di sini mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abdul Hamid menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan mereka perlu melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Peguam Muhammad Fadhli M. Sutris yang mewakili Zarina bagaimanapun memohon agar jaminan dikurangkan kepada RM5,000 kerana anak guamnya tidak bekerja dan bergantung hidup dengan anak-anaknya manakala Safiah yang tidak diwakili peguam turut merayu jaminan minimum dengan alasan tidak mempunyai pendapatan.

Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM7,000 selain perlu melaporkan diri dua kali sebulan di balai polis berhampiran dan menetapkan 24 Jun ini untuk sebutan semula kes. -Bernama