KUALA LUMPUR: Festival Kesenian Kanak-kanak Kebangsaan (FESKA) diadakan pada 30 Sept dan 1 Okt lepas, berjaya menyemarakkan semangat kesenian dalam kalangan kanak-kanak yang merupakan pewaris legasi masa hadapan negara.
Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Mohd Amran Mohd Haris berkata FESKA merupakan sebahagian daripada program di bawah teras utama jabatan itu yang memfokuskan kepada pembangunan modal insan seni budaya.
“Pelaksanaan program ini adalah manifestasi kepada pelaksanaan Program Bimbingan Seni Budaya (PBSB) yang menjadi platform menterjemahkan pencapaian cemerlang peserta PBSB.
“Semoga dengan penganjuran festival ini dapat menanam minat generasi muda untuk mencintai seni budaya warisan bangsa,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Amran berkata FESKA dimeriahkan dengan pengisian sampingan seperti bengkel seni budaya, jualan produk dan pameran seni budaya yang turut disertai Sekolah Seni Malaysia yang mempamerkan hasil karya lukisan pelajar sekolah berkenaan.
“Walaupun tarian menjadi eleman utama dalam festival ini, JKKN turut memperlihatkan elemen seni budaya lain yang berada di bawah PBSB iaitu teater, muzik, gasing, silat dan seni berbahasa.
“Pengisian ini dapat memberi pendedahan kepada peserta dan khalayak pengunjung untuk menghayati, memahami serta menghargai kesenian dan kebudayaan negara,“ katanya.
Sementara itu, kumpulan Tingkah Mahsyur dari Sekolah Kebangsaan (SK) Puncak Alam (2), Selangor dinobatkan sebagai johan Kejuaraan Tari Kanak-Kanak Malaysia yang dianjurkan sempena FESKA 2023.
Kelab Tari Keat Hwa (K) dari Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Keat Hwa, Alor Setar, Kedah mendapat tempat kedua manakala SK Kiawayan Tambunan, Sabah (Kiawayan Dance Club) ketiga. -Bernama