KUALA LUMPUR: Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga UMNO (Hawa) hari ini menggesa kerajaan untuk kembali berbincang bersama semua pihak berkepentingan berhubung beberapa cadangan pindaan Perlembagaan yang menyentuh isu-isu hak kewarganegaraan kanak-kanak.
Pengerusinya Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata pihaknya menyeru kerajaan agar tidak menangguh proses pindaan untuk membolehkan ibu-ibu Malaysia mendapat hak yang sama rata untuk mewariskan kerakyatan Malaysia kepada anak masing-masing secara automatik.
“Apa yang kita tekankan pada hari ini adalah agar kerajaan sekarang yang prihatin boleh terus beri hak kesaksamaan ini kepada ibu dan anaknya (yang berhadapan isu hak kewarganegaraan). Kita harap ia dapat diteruskan tanpa ditangguh.
“Tetapi kita minta pindaan-pindaan baru (yang berkaitan) yang Kementerian Dalam Negeri sedang timbal, kita minta jangan masukkannya ke Parlimen lagi sebelum ada sesi-sesi libat urus dengan CSO (pertubuhan masyarakat sivil) dan golongan terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas program 'Sesi Perkongsian Minda Pemegang Taruh: Cadangan Pindaan Perlembagaan Persekutuan Berkenaan Kewarganegaraan' di Pusat Dagangan Dunia hari ini.
Shahrizat berkata isu membabitkan hak kewarganegaraan kanak-kanak wajar disegerakan dan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan perlu diberi penekanan agar keputusan adil mampu dibuat kepada rakyat dan pihak berkepentingan.
Sesi perbincangan itu menyentuh beberapa perkara seperti penambahbaikan pada sistem perundangan melalui penggubalan undang-undang berkaitan, kebajikan kanak-kanak Malaysia yang lahir di luar negara dan implikasi kepada kanak-kanak yang tidak mendapat hak kewarganegaraan.
Turut hadir Presiden Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dan pakar Perlembagaan Profesor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi.
Pada 23 Mac lepas, Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengumumkan penubuhan HAWA yang berperanan untuk memberi perhatian terhadap cabaran dan isu yang menjadi kepentingan kepada wanita dan keluarga. -Bernama