Your Title

JERTIH: Sambutan Bulan Kebangsaan di Terengganu disemarakkan lagi dengan siri jelajah Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2023, yang akan singgah di lima lokasi di negeri ini, bermula dengan Kampung Pachakan, Kuala Besut dekat sini, petang ini.

Pengarah Penerangan Terengganu Sait Yaman berkata selepas daerah Besut konvoi terdiri daripada sembilan buah kenderaan itu akan ke Setiu, Hulu Terengganu, Dungun dan destinasi terakhir di Kemaman.

“Kita menerima serahan Jalur Gemilang daripada Pengarah Penerangan Kelantan, Muhd Nor Aswadi Mohd Nor di pintu gerbang sempadan Terengganu dan Kelantan dekat Kampung Pachakan jam 2.15 petang ini.

“Hari ini konvoi akan menjelajah sekitar daerah Besut dengan diiringi oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi melancarkan pergerakan konvoi,” katanya pada majlis penyerahan Jalur Gemilang di Kampung Pachakan di sini, petang ini.

Katanya lagi, konvoi terdiri daripada kenderaan Jabatan Penerangan Terengganu, Telekom Malaysia Berhad (TM), Pos Malaysia dan Pejabat Kesihatan Besut itu turut dimeriahkan dengan penyertaan 11 buah motosikal berkuasa tinggi dari Kelab BMW K16 Malaysia.

Sait berkata penyerahan Jalur Gemilang seterusnya akan dilaksanakan di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Kuantan, Pahang pada Rabu ini. -Bernama