LUMUT: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telah melaksanakan lebih 50 peratus pemeriksaan membabitkan aspek keselamatan dan pengoperasian terhadap Projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) bagi jajaran Seksyen 11 melibatkan persimpangan Beruas dan Taiping Selatan.

Ketua Pegawai Eksekutif WCE Lyndon Alfred Felix berkata proses itu mengambil sedikit masa untuk diselesaikan kerana ia memerlukan penelitian rapi selain mematuhi garis panduan ditetapkan pihak LLM sebelum boleh dibuka kepada umum.

“Perkara-perkara yang membabitkan pembinaan jajaran itu telah siap sepenuhnya dan buat masa ini, LLM dalam proses akhir pemeriksaan.

“Kita harapkan ia berjalan lancar dan pembinaan yang dilakukan itu memenuhi garis panduan ditetapkan oleh pihak LLM,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Keselamatan Sempena Sambutan Tahun Baru Cina 2024 Peringkat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Perak di Plaza Tol Lekir di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri (gambar).

Pada 24 Jan lepas, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) LLM Dr Nadzrol Fadzilah Ahmad berkata projek WCE bagi jajaran 11 sepanjang 35.5 kilometer (km) itu dijangka beroperasi pada suku pertama tahun ini.

Sehingga kini, lima daripada 11 seksyen pembinaan lebuh raya itu sudah dibuka membabitkan Seksyen 5 (Klang - Kapar) dan Seksyen 6 (Kapar - Assam Jawa) di Selangor, Seksyen 8 (Hutan Melintang - Telok Intan), Seksyen 9 (Kampung Lekir - Changkat Chermin) dan Seksyen 10 (Changkat Chermin - Beruas) di Perak.

Sementara itu, Mohd Yusri berkata sejumlah 1,333 kes kemalangan jalan raya direkodkan berlaku di Perak sepanjang sambutan Tahun Baharu Cina pada 2023.

“Daripada jumlah itu, 10 daripadanya ialah kemalangan maut dan penunggang motosikal masih menjadi penyumbang utama kepada kejadian terbabit melibatkan enam kes,” katanya.

Beliau berkata Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) akan melaksanakan Op Selamat ke-21 bermula 8 hingga 13 Feb ini sepanjang sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun ini yang bertujuan memastikan kelancaran aliran trafik.

“Sebanyak 89 pegawai kanan dan 526 pegawai berpangkat rendah akan terlibat dengan penugasan sepanjang Op Selamat ke-21,” katanya sambil menambah tema operasi kali ini ialah Rumah Selamat, Sampai Ke Destinasi. -Bernama