PASIR PUTEH: Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) mengiatkan usaha mencari tanah baharu bagi tanaman kenaf bermula tahun hadapan di Kelantan dan Terengganu, kata Pengerusinya Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah.
Beliau berkata buat masa ini tanaman kenaf tinggal 148 hektar sahaja berbanding keluasan asal 600 hektar di Kelantan, manakala di Terengganu hanya tinggal 100 hektar daripada 400 hektar sebelum ini.
“Usaha mencari semula tanah baharu ini bagi menggantikan tanah sedia ada yang berkurangan disebabkan kita memberi laluan kepada tanaman padi bagi memenuhi dasar negara dalam keterjaminan bekalan makanan pascapandemik COVID-19.
“Tumpuan penggunaan tanah untuk tanaman kenaf penting untuk penghasilan produk kenaf sebagai makanan ternakan dan proses bio-retting (rendaman) bagi menghasilkan fiber di bawah industri tersebut,“ katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Penyerahan Sumbangan Tunai Rahmah di Institut Latihan Kenaf dan Tembakau (INSKET) di sini hari ini, yang dihadiri Pengarah Wilayah Timur LKTN merangkap Pengarah LKTN Kelantan Mohd Azemi Sepian serta Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) LKTN Mohd Fadzhel Nasir.
Wan Abd Rahim berkata di Kelantan, antara daerah yang terlibat bagi ladang kluster tanaman ternakan untuk bio-retting dan kegunaan fiber ialah di Pasir Puteh, Machang, Pasir Mas, Tanah Merah, Tumpat dan Jeli.
“Pencarian tanah baharu juga melibatkan tanah yang ditanam tanaman komoditi lain seperti kelapa sawit, kelapa matag, getah dan durian.
“Bagi tanaman kenaf, berdasarkan ekosistem di kawasan tanaman, hasilnya hanya mengambil masa 35 hingga 40 hari sahaja,“ katanya.
Terdahulu, sebanyak 315 pencarum Tabung Kebajikan Industri Kenaf dan Tembakau (TKIKT) terdiri daripada penanam kenaf, pengusaha tembakau dan peserta projek kenaf menerima Sumbangan Tunai Rahmah membabitkan peruntukan sebanyak RM94,500. -Bernama