MELAKA: Kerajaan Negeri Melaka akan menganjurkan Festival Warisan dan Pelancongan Melaka-Pahang di Muzium Kesultanan Melayu Melaka pada 1 Nov ini.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (gambar) berkata Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijangka berkenan hadir ke festival berkenaan.

“Festival Warisan dan Pelancongan Melaka-Pahang merupakan program lintasan budaya antara kedua-dua negeri yang diadakan bersempena dengan Program Menjunjung Kasih Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Ia merupakan penghargaan rakyat Melaka terhadap Seri Paduka yang akan menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Januari tahun hadapan,“ katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri Melaka Bulan Oktober di sini hari ini.

Beliau berkata pelbagai program melibatkan silang budaya, seni serta sejarah antara kedua-dua negeri akan diadakan dan orang ramai dijemput hadir memeriahkan festival berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Ab Rauf berkata Tuah Research Centre (TRC) akan ditubuhkan di Universiti Melaka (Unimel) sebagai pusat kajian dan rujukan berkaitan sejarah Hang Tuah dan Kesultanan Melayu Melaka.

Beliau berkata penubuhan TRC bertujuan memartabatkan pensejarahan berkenaan yang menjadi antara tumpuan kerajaan negeri menerusi Institut Tun Perak (ITP) dan Perbadanan Muzium Melaka (Perzim).

“Hang Tuah merupakan satu legenda yang akan dibawa semula kegemilangannya oleh kerajaan negeri di bawah pimpinan saya dan saya akan buktikan bahawa Hang Tuah akan memberikan inspirasi (kepada) negeri dan rakyat Melaka.

“Legenda ini akan terus dikekalkan kepada generasi akan datang dan artifak yang berada di luar negara sama ada di Turkiye atau Rom akan diusahakan untuk dibawa pulang ke Melaka,“ katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata TRC juga akan menjadi produk pelancongan baharu melibatkan subsektor sejarah, sekali gus menarik kedatangan pengkaji sejarah dari dalam dan luar negara.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata ITP dan Perzim diminta menyelaras semua hasil penemuan dan dapatan kajian pengukuhan kewujudan Hang Tuah melalui sumber-sumber baharu di empat negara Eropah iaitu Turkiye, Portugal, Belanda dan United Kingdom dari 16 Sept hingga 3 Okt lepas.

Beliau berkata hasil kajian berkenaan akan dipamerkan kepada rakyat Melaka dan pelancong bersempena dengan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) selewat-lewatnya pada Jun tahun hadapan. -Bernama