SUNGAI PETANI: Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) menjadi platform terbaik dan efektif bagi usahawan desa memperkenalkan produk masing-masing sekali gus berpotensi menarik minat pelanggan baharu.
Peserta karnival itu di sini, Nurul Aida Ashari, 23, berkata program itu banyak membantu usahawan desa dari segi mempromosikan produk mereka, justeru pengurus perusahaan madu kelulut Bendang Man, Sik, itu berharap karnival sedemikian kerap dianjurkan termasuk di kawasan luar bandar.
“(Selain itu), melalui Mini Karnival Usahawan Desa seperti ini, kami dapat berkenalan dengan usahawan lain, berkongsi idea dan bertukar pandangan antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui Bernama di Mini KUD di sini hari ini.
Nurul Aida berkata perusahaan madu kelulutnya yang sudah mencapai 11 tahun perniagaan itu turut mendapat sokongan dan bantuan daripada Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), sekali gus menyebabkan beliau tidak melepaskan peluang menyertai setiap karnival yang dibawa oleh KEDA.
Seorang lagi peserta Sabri Musa, 45, yang juga pengusaha ladang ketam di Langkawi iaitu Crab Farm, Kubang Badak, teruja apabila dipilih KEDA untuk menyertai karnival itu buat kali pertama bagi mempromosikan produk ekopelancongannya itu.
“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak KEDA, boleh kenal usahawan lain ... saya nampak peluang cerah untuk mendapatkan pelanggan baharu (di karnival ini),“ katanya yang turut memberitahu ladang ternakan ketam nipah antara produk perniagaan ditawarkan untuk menarik minat pelancong.
Sabri berpandangan peluang mempromosikan produk ekopelancongannya di karnival itu dilihat lebih hebat, sekali gus memberikan manfaat kepada aktviti perniagaannya.
Dalam pada itu, pengunjung karnival itu Faridah Awang Kechik, 58, dari Pendang berkata kedatangannya ke karnival itu turut memberi galakan dan semangat kepadanya yang menjalankan perkhidmatan kesihatan dan kecantikan secara kecil-kecilan di rumah.
“Bila datang ke sini dapat jumpa usahawan lain dan sedikit sebanyak dapat tambah baik kaedah berniaga untuk menaikkan taraf kehidupan ... saya datang sini ada juga jumpa usahawan yang buat urutan,“ katanya.
Saiful Zaharin Zakaria, 46, dari Kuala Nerang pula berkata karnival itu amat menarik kerana dapat melihat dan membeli pelbagai produk keluaran usahawan desa, selain menjadi saluran baharu untuk golongan itu memasarkan produk mereka.
Mini KUD di Sungai Petani anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dengan penglibatan agensi seperti KEDA itu berlangsung selama tiga hari bermula semalam dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan merasmikan karnival itu berserta Program Sentuhan Kasih Desa Kedah, tengah hari ini. -Bernama