Your Title

ALOR SETAR: Kementerian Pengangkutan (MOT) mengumumkan tiga projek yang akan dilaksanakan di Kedah anggaran lebih RM500 juta dalam usaha menambah baik kemudahan perkhidmatan pengangkutan bagi kawasan sebelah utara untuk meningkatkan keselesaan rakyat.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke (gambar) berkata tiga projek itu melibatkan rancangan menaik taraf terminal dan jeti Kuala Kedah di sini; perolehan 12 set three car set (3CS) bagi projek Komuter Utara dan menambah kemudahan lif serta tempat letak motosikal berbumbung di empat stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM) di negeri itu.

Mengenai perancangan menaik taraf terminal dan jeti Kuala Kedah itu, beliau berkata ia dalam proses persediaan akhir untuk mengiklankan tender Projek Meroboh, Membina dan Menaik Taraf Terminal dan Jeti Penumpang, Kargo dan Roro bagi lantikan kontraktor.

“Projek ini dijangka akan diiklankan pada 6 Jun nanti selepas semua dokumentasi tender dilengkapkan. Ia dijadual siap dalam tempoh 36 bulan dari tarikh pemilikan tapak oleh kontraktor.

“...projek ini dijangka akan bermula pada akhir tahun ini apabila semua proses tender dilaksanakan, kami menjangkakan dapat menganugerahkan projek ini ataupun melantik kontraktor pada penghujung bulan November,” katanya pada sidang media di Jeti Penumpang Kuala Kedah di sini hari ini.

Turut serta dalam sidang media itu Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Negeri Kedah.

Anthony berkata skop utama projek menaik taraf terminal dan jeti Kuala Kedah itu membabitkan kerja meroboh dan membina terminal baharu berkonsepkan teknologi hijau yang mampu menampung 3,000 penumpang berbanding kapasiti sedia ada hanya 800 penumpang.

“...projek ini merangkumi kerja-kerja meroboh dan membina semula jeti penumpang; kargo dan Roro baharu; membina jejambat (laluan masuk); menaik taraf jalan; membina tempat letak kereta bertingkat (anggaran 420 ruangan parkir) serta menyediakan infrastruktur; fasiliti bangunan dan kerja-kerja landskap,” katanya.

Beliau berkata projek itu adalah demi meningkatkan kecekapan pengoperasian feri penumpang dan perkhidmatan Roro di laluan marin Kuala Kedah-Pulau Langkawi yang ia dapat membantu pemulihan industri pelancongan di Permata Kedah.

Sementara itu, katanya KTMB akan melaksanakan perolehan 12 set 3CS yang tender bagi perolehan itu dijangka diiklankan pada 30 Jun nanti dan perolehan itu dijangkakan mengambil masa selama 36 bulan untuk disiapkan.

Anthony berkata skop utama perolehan itu adalah untuk membekalkan 12 tren elektrik 3CS bagi laluan utara iaitu Butterworth-Padang Besar dan laluan selatan melibatkan Butterworth-Padang Rengas.

“Berdasarkan kepada corak permintaan penumpang, jumlah penumpang di sektor utara dijangka akan terus meningkat dari hari ke hari terutama ketika musim cuti persekolahan dan cuti umum. Pada masa ini, perkhidmatan komuter di sektor utara meliputi laluan Padang Besar-Butterworth-Padang Besar dan Padang Rengas-Butterworth-Padang Rengas meliputi 20 stesen,” katanya.

Dalam pada itu, Anthony berkata dua unit lif akan ditambah masing-masing di KTM Kodiang dekat Kubang Pasu dan KTM Kobah (Pendang) manakala tempat letak motosikal berbumbung akan ditambah di KTM Alor Setar; KTM Anak Bukit dan KTM Kobah melalui kerjasama Perbadanan Aset Keretapi (RAC).

“Keduanya, kami juga akan tambah kemudahan tempat letak motosikal di tiga stesen iaitu Stesen Keretapi Alor Setar, Stesen Keretapi Anak Bukit dan Stesen Keretapi Kobah. Ketiga-tiga stesen ini akan ditambah dengan tempat letak motosikal berbumbung yang lebih baik.

“Seperti yang saya katakan tadi, kami faham ramai anak-anak Kedah yang bekerja di Pulau Pinang, mereka menggunakan Komuter Utara untuk berulang-alik. Jadi dengan adanya kemudahan untuk meletakkan motosikal berbumbung di stesen kereta api ini, sudah tentu akan memberikan keselesaan dan kemudahan lebih baik kepada penumpang,” katanya.

Beliau berkata pelaksanaan ketiga-tiga projek di Kedah itu tiada kaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) sebaliknya ia dilaksanakan sebagai tanggungjawab kerajaan dan Kerajaan Perpaduan melalui kementeriannya komited untuk mempertingkatkan kesinambungan pengangkutan awam untuk rakyat di negeri utara. -Bernama