BANTING: Selepas 10 tahun penduduk Kampung Orang Asli Sungai Judah menikmati perkhidmatan di Pusat Ekonomi Digital (PEDi), ternyata perkampungan itu kini berjaya menaik taraf kehidupan mereka, sekali gus melahirkan komuniti yang celik digital.

Tok Batin Kampung Orang Asli (KOA) Sungai Judah, Daiman Peron, 63, berkata kewujudan PEDi sejak 2013 di kampungnya banyak memberi perkembangan positif dalam sektor pendidikan dan ekonomi penduduk di situ.

“Sejak adanya PEDi di sini, masyarakat Orang Asli lebih maju kerana pusat ini sangat memudahkan anak-anak di sini untuk mengulang kaji pelajaran atau mencari bahan-bahan rujukan selain golongan dewasa juga dapat mempelajari kaedah mempromosi produk kraf penduduk setempat secara dalam talian.

“Masyarakat di sini juga dilihat semakin celik IT (celik digital), sebelum ini masyarakat di sini agak mundur tetapi kini mereka semakin ke hadapan. Selain itu, kanak-kanak dan anak-anak muda juga dapat menjalani aktiviti yang sihat di sini dan tidak membuang masa pada aktiviti-aktiviti yang tidak memberi manfaat,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di PEDi Kampung Orang Asli Sungai Judah di sini.

Pada masa sama, beliau turut berharap kerajaan dapat memperbanyakkan pembukaan PEDi di kampung-kampung Orang Asli di seluruh negera supaya dapat meningkatkan taraf kehidupan masyarakat tersebut.

Bagi pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Carey, Muhammad Danial Haikal Abdullah, 15, pula berkata PEDi banyak memudahkannya dalam urusan pembelajaran terutama untuk mencari bahan kerja sekolah dengan akses internet yang sangat laju.

“Kampung kami ini agak jauh dari bandar, susah untuk mencari bahan, dengan adanya PEDi tersangatlah membantu saya. Servis percetakan dan fotostat di sini juga sangat baik dan murah,” katanya.

Sementara itu, pengurus PEDi Kampung Orang Asli Sungai Judah, Nabila Najaa Duriham, 33, berkata pusat berkenaan banyak memudahkan urusan masyarakat setempat dan sekitar selain berjaya melahirkan komuniti yang celik digital.

“Tempat ini selalunya akan dipenuhi dengan kanak-kanak, penduduk tempatan juga datang ke sini sekiranya mahu mengisi borang atau apa-apa permohonan secara dalam talian, kami akan bantu mereka.

“Kita juga ada tawarkan kelas teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan keusahawanan dengan hanya mendaftar sebagai ahli dan membayar RM5 sekali seumur hidup dan mereka boleh menggunakan komputer secara percuma selain perkhidmatan di sini juga lebih murah berbanding di luar,” katanya.

Beliau bersyukur sentiasa mendapat pandangan yang positif daripada masyarakat setempat dan kebanyakkan ibu bapa di kawasan sekitar sangat menggalakkan anak-anak mereka datang ke PEDi tersebut.

Selain itu, pelajar Tahun Lima di Sekolah Kebangsaan Sungai Judah, Norisa Anak Norizuan, 11, berkata dia sangat teruja setiap kali datang ke pusat tersebut kerana dapat melayari internet selain menjalani aktiviti yang disediakan.

“Sekarang saya sudah pandai menggunakan komputer dulu tidak pandai, kakak (pengurus) banyak mengajar kami. Saya hari-hari akan datang ke sini sebab di rumah tidak ada begini, saya suka buat aktiviti (e-pembelajaran),” katanya. -Bernama