PUTRAJAYA: Kelemahan pemantauan dan prosedur pengurusan Akaun Pemajuan Perumahan (HDA) adalah antara faktor yang dikenal pasti menjadi penyumbang kepada projek perumahan bermasalah.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir (gambar) berkata HDA terletak di bawah Akta Pemajuan Perumahan (Akta 118) dan akta itu mewajibkan pemaju perumahan berlesen membuka dan menyelenggara HDA dengan bank bagi setiap projek yang diusahakan.

“HDA itu khusus untuk satu projek tetapi yang berlaku adalah satu HDA itu digunakan untuk beberapa projek malah transaksi institusi kewangan dengan pemaju itu tidak dimasukkan dalam HDA. HDA sudah dinyatakan jelas dalam Akta 118, cuma pelaksanaan itu kurang jelas,“ katanya.

HDA merupakan suatu akaun untuk simpanan deposit bagi pemaju untuk mendapatkan lesen pemajuan dan pinjaman kewangan bagi pembinaan oleh pemaju serta mengawal selia projek daripada terbengkalai.

Bercakap dalam sidang media berhubung perkembangan status projek perumahan sakit dan terbengkalai di sini hari ini, Akmal Nasrullah berkata Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) mahu pemantauan HDA itu ditambah baik dan diselaraskan antara kementerian dan bank-bank

Akmal Nasrullah berkata Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) telah memajukan syor-syor penambahbaikan kepada institusi kewangan dan perbankan supaya hasrat Akta 118 itu tercapai dan mencari penyelesaian memastikan pengurusan HDA itu teratur dan dikawal selia.

Selain itu, beliau berkata beberapa kelemahan juga dikenal pasti antaranya keupayaan pengurusan projek dan kewangan pemaju; pengurusan di tapak bina yang melibatkan kontraktor utama dan pertikaian kontrak antara pemaju dan tuan tanah.

Beliau berkata sehingga 31 Julai lepas, TFST telah mengesan dan memantau sebanyak 118 projek lewat atau 13,039 unit rumah, 490 projek sakit atau 79,278 unit rumah dan 114 projek terbengkalai atau 24,262 unit rumah.

Akmal Nasrullah berkata sebanyak 222 projek perumahan swasta atau 24,422 unit rumah telah berjaya dipulihkan sehingga menerima Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) atau bertukar ke status lancar.

“Nilai pembangunan kasar (GDV) bagi keseluruhan projek berjaya dipulihkan ini adalah sebanyak RM20.61 bilion. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 44 projek atau 3,496 unit berjaya dipulihkan untuk tempoh 1 Julai hingga 31 Julai lepas dengan GDV sebanyak RM3.14 bilion,“ katanya. -Bernama