KUALA LUMPUR: Seorang pemilik syarikat didenda RM141,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 berjumlah RM140,000, dua tahun lepas.

Hakim Azura Alwi menjatuhkan hukuman itu terhadap Lee Hong Rong, 24, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah atas lima pertuduhan pilihan itu pada sebutan kes hari ini.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara 38 bulan sekiranya dia gagal membayar denda.

Mengikut kesemua pertuduhan itu, Lee didakwa menggunakan lima dokumen palsu iaitu Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja atas nama Perusahaan Era Media Sdn Bhd, bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana 2.0 Perkeso Kerjaya berjumlah RM140,000 kepada pegawai perkhidmatan pekerjaan pejabat Perkeso.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Pejabat Perkeso Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini antara 23 April sehingga 4 Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagaimanapun, 26 pertuduhan membabitkan dokumen palsu yang dihadapi Lee sebelum ini dipertimbangkan di bawah Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muaz Ahmad Khairuddin dan Pegawai Pendakwa Mohd Aliff Shaharuzaman manakala Lee diwakili peguam Lim Chi Chau. -Bernama