KUALA LUMPUR: Sekitar hari penamaan calon yang berlangsung hari ini, beberapa pemimpin parti kerajaan hadir ke perkarangan pusat penamaan bagi mengiringi calon Kerajaan Perpaduan yang bertanding di enam negeri terlibat.
Selain Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan Perdana Menteri dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang hadir di beberapa pusat penamaan calon di Selangor, turut kelihatan mengiringi calon ialah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang merupakan Timbalan Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) di Kelantan.
Di pusat penamaan calon di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu Gombak, Anwar diiringi Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah Datuk Seri Hajiji Noor; Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), yang julung kali bersama-sama parti pemerintah peringkat Persekutuan untuk memberi sokongan kepada calon gabungan parti Kerajaan Perpaduan di Semenanjung.
Hadir sama Pengarah Komunikasi PH Fahmi Fadzil yang juga Menteri Komunikasi dan Digital.
Kehadiran mereka adalah untuk memberi sokongan kepada calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua Datuk Seri Amirudin Shari (PH-PKR); DUN Gombak Setia Datuk Megat Zulkarnain Omardin (BN-UMNO); dan DUN Hulu Kelang Juwairiya Zulkifli (PH-PKR).
Ahmad Zahid pula mengiringi calon di DUN Tendong Noor Hariri Mohamed Noor (BN-UMNO); Pengkalan Pasir Rushdan Mustafa (PH-Amanah) dan Meranti iaitu Zahri Omar (BN-UMNO) di di Kolej Vokasional Pasir Mas.
Di Negeri Sembilan, Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mengiringi calon PH-PKR di DUN Sikamat Datuk Seri Aminuddin Harun mengemukakan borang pencalonan di Dewan Komuniti Taman Coral Heights, Sikamat.
Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan yang bertanding DUN Rantau diiringi Setiausaha Agung GPS yang juga Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi serta Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong di Sekolah Kebangsaan Bandar Sri Sendayan.
Selain di Gombak, Anwar turut memberi sokongan kepada calon yang mewakili Kerajaan Perpaduan di pusat penamaan di Selayang dan Ampang.
Bagi parti-parti pembangkang pula, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berada di SMK Sungai Pusu Gombak untuk memberi sokongan kepada dua calon PN-Bersatu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang bertanding di Hulu Kelang dan Muhammad Hilman Idham di Gombak Setia serta Muhammad Hanif Jamaluddin (PN-PAS) bagi kerusi Sungai Tua.
Selain itu, Presiden PAS Tan Sri Hadi Awang juga berada di Selangor mengiringi Ab Halim Tamuri (PN-PAS) di DUN Paya Jaras dan Mohd Radzlan Jalaludin (PN-Bersatu) bagi kerusi Kota Damansara menyerahkan borang pencalonan mereka di Pejabat Daerah dan Tanah Petaling. -Bernama