KUANTAN: Kebakaran sebuah blok yang dijadikan bilik tayangan di Sekolah Kebangsaan (SK) Senderut dalam daerah Lipis pada Rabu lepas, berpunca daripada sistem pendawaian, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa.

Beliau berkata walaupun bomba mengambil masa lebih tiga jam untuk ke lokasi kejadian ekoran kedudukan yang jauh serta jalan yang hanya boleh diakses menggunakan kenderaan pacuan empat roda, pihaknya berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke bangunan lain.

“Bilik tayangan yang terlibat diperbuat daripada kayu dan kita tidak menolak kemungkinan sistem pendawaian telah lama atau tidak dibuat pemeriksaan secara berkala untuk suatu tempoh.

“Sehubungan dengan itu, kita menyarankan premis termasuk sekolah untuk membuat pemeriksaan berkala sekurang-kurangnya 10 tahun sekali supaya pendawaian baharu boleh dilakukan jika sistem sedia ada kurang baik,“ katanya.

Wan Mohammad Zaidi berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perbarisan Tahunan JBPM Pahang 2024 di ibu pejabat jabatan itu di sini hari ini, yang turut melibatkan penyerahan empat bot fiber lengkap peralatan bernilai RM44,800 daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).

Kebakaran di blok SK Senderut itu dipercayai berlaku pada 10.29 malam, 31 Jan lepas dan bomba yang tiba di lokasi kejadian pada 1.46 pagi 1 Feb, berjaya mengawal kebakaran pada 3.23 pagi. Kejadian bagaimanapun tidak melibatkan mangsa.

Selain itu, Wan Mohammad Zaidi berkata pihaknya bersedia membantu mereka yang memohon bantuan jabatan untuk melakukan pemeriksaan keselamatan kebakaran, selain telah menubuhkan pasukan petugas untuk sekolah tahfiz di Pahang bermula tahun lepas.

“Keutamaan diberikan pada sekolah yang dilengkapi kemudahan asrama. Bagi tahun ini, JBPM Pahang menjalin kerjasama dengan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) untuk keselamatan kebakaran di pusat tahfiz.

“Bomba akan melakukan pemeriksaan bersama-sama MUIP bagi tujuan pengeluaran surat sokongan bagi tujuan permohonan lesen untuk (pusat tahfiz) mendapatkan pengiktirafan daripada MUIP,“ katanya.

Mengulas mengenai perkembangan pembinaan balai bomba dan penyelamat di Sungai Lembing di sini, Wan Mohammad Zaidi berkata setakat ini, kemajuannya telah mencapai 45 peratus dengan dijadualkan siap pada Februari 2025.

Balai bomba itu dibina ekoran tragedi kebakaran di situ pada awal pagi 31 Ogos 2019 yang menyebabkan kehilangan nyawa pasangan suami isteri warga emas serta memusnahkan 32 bangunan terdiri daripada 20 rumah kedai dua tingkat, 11 unit rumah setingkat dan sebuah perpustakaan, melibatkan 29 keluarga dan 53 mangsa. -Bernama