SUNGAI PETANI: Penduduk di kampung Bukit Belah di sini, menggesa pihak berkaitan agar segera melebar serta mendalamkan Sungai Petani di kampung berkenaan, bagi mengelak banjir kilat berulang.

Seorang penduduk Mohd Ridzuan Mohd Rozali, 38, berkata gesaan itu dibuat selepas lebih 10 rumah di kampung itu dilanda banjir kilat sedalam 0.5 meter semalam susulan hujan selama empat jam bermula 2.30 petang.

Katanya, kejadian itu menyebabkan 20 individu daripada enam keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), sebelum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pagi tadi selepas banjir surut sepenuhnya.

“Ini kali ketiga banjir melanda kampung ini yang berpunca daripada masalah saliran air di Sungai Petani yang semakin cetek dan sempit.

“Punca air sungai ini datang dari banyak tempat akibat pembangunan, apabila tidak mampu menampung jumlah yang banyak ia melimpah dengan cepat. Sebelum ini ada pihak terbabit datang mencuci sungai tapi belum ada yang mengorek dan mendalamkannya,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Seorang ibu tunggal Idzarin Azwan Harun, 46, pula berkata tindakan segera perlu diambil bagi menyelesaikan masalah saliran air yang hanya terletak lima meter dari rumahnya.

“Bila hujan lebih empat jam kami akan berpindah, sungai ini semakin cetek dan sempit walaupun pihak Jabatan Pengairan dan Saliran datang mencuci, ia tidak dapat selesaikan masalah yang membelenggu penduduk lebih 10 tahun lepas,” katanya dan menambah keadaan semakin buruk apabila berlaku air pasang besar.

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Lt Kol (PA) Zairil Anuar Zulmuji berkata sebanyak 110 individu daripada 35 keluarga di daerah Kuala Muda dipindahkan ke tiga PPS berikutan banjir kilat petang semalam.

Beliau berkata 28 keluarga membabitkan 84 individu ditempatkan di PPS Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Min Terk, satu keluarga (enam orang) di PPS Masjid Al Huda Kampung Jerung dan enam keluarga (20 orang) di PPS Dewan UMNO Bukit Belah.

Bagaimanapun, beliau berkata kesemua PPS sudah ditutup 1 tengah hari tadi dan semua penduduk terlibat telah pulang ke kediaman masing-masing.

Zairil Anuar berkata selain banjir kilat, ribut turut menjejaskan tiga keluarga di Taman Gurun Jaya di daerah Kuala Muda, sehingga mereka terpaksa ditempatkan di PPS Surau Taman Gurun Jaya semalam.

Beliau berkata selain Kuala Muda, ribut turut melanda beberapa kawasan di daerah Kubang Pasu, Kota Setar dan Pokok Sena sehingga menyebabkan beberapa kediaman rosak terutama pada bahagian bumbung akibat diterbangkan angin kuat.

Kejadian ribut petang semalam juga menyebabkan kejadian pokok tumbang dan menghempap sebuah kereta sehingga pemandunya seorang lelaki warga emas berusia 74 tahun maut di Jalan Bukit Payong, Pokok Sena. -Bernama