KUALA LUMPUR: Seorang pensyarah universiti awam terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan lelaki itu dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mengedar kanabis seberat 1.27 kilogram (kg), tiga tahun lepas.

Tertuduh, T.S.Gabriel Samson, 35, turut dilepas dan dibebaskan daripada satu pertuduhan lain itu memiliki 3.05 gram ekstasi, pada tarikh, masa dan lokasi sama.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

“Mahkamah mendapati dadah berkenaan bukan dalam milikan tertuduh seorang tetapi milik individu lain. Semasa disoal siasat saksi pendakwaan ketiga yang merupakan anggota polis, lelaki berkenaan memberitahu di mana dadah itu disimpan.

“Jika lelaki itu dipanggil (untuk memberi keterangan), dia boleh menjelaskan berkenaan isu dadah yang dijumpai kepunyaan siapa, samada tertuduh terlibat dengan pengedaran tersebut atau tidak. Saya juga mendapati lelaki itu mempunyai akses terhadap rumah tersebut kerana hanya orang yang mempunyai akses terhadap rumah dan dadah tersebut yang boleh memberitahu di mana dadah disimpan.

“Oleh itu, adalah tidak selamat bagi saya memanggil tertuduh membela diri kerana timbulnya jurang dalam kes pendakwaan. Dengan ini, tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada kedua-dua pertuduhan dihadapinya,” kata hakim itu.

Gabriel didakwa mengedar 1278.61 gram kanabis di unit kondominium di Jalan Pahang, Wangsa Maju di sini pada jam 10.15 malam, 5 Feb 2021, mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Dia juga dituduh memiliki 3.05 gram ekstasi pada tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara boleh sampai lima tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan bersalah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad manakala peguam Zaleha Al-Hayat dan Nur Qistina Mohd Nizam mewakili tertuduh.

Seramai enam saksi pendakwaan memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula 6 Nov 2023. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image