CHUKAI: Seekor penyu agar jantan ditemukan mati terdampar di Pantai Chakar Hutan, Kertih, di sini dipercayai akibat terjerut pukat pari.

Pengerusi Geng Plastik Ija (GPI) Terengganu Zulkefli Sarji berkata bangkai haiwan itu dijumpai oleh sukarelawan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) kira-kira 7.30 pagi.

Beliau berkata penyu berukuran 1.52 meter panjang itu dipercayai telah mati beberapa hari berdasarkan keadaan badannya yang kembung dan pecah-pecah.

“Keadaan penyu ini sungguh menyedihkan dengan pukat pari masih terlilit pada lehernya. Pukat pari yang dipasang di tengah laut oleh nelayan sudah mengakibatkan banyak penyu mati.

“Penyu ini mungkin telah mati di tengah laut beberapa hari tetapi dibawa arus dan terdampar di pantai ini,“ katanya ketika dihubungi.

Zulkefli berkata bangkai penyu berkenaan telah diserahkan kepada Jabatan Perikanan untuk tindakan lanjut.

Menurut beliau setakat ini pihaknya telah menemukan tiga bangkai penyu agar terdampar di pesisir pantai Terengganu ketika menjalankan kerja pembersihan pantai.

“Kebanyakan penyu ditemukan mati disebabkan tersangkut pada pukat pari atau termakan plastik yang berada di laut.

“Keadaan ini boleh menyebabkan bilangan penyu semakin berkurang, ini kerana daripada 1,000 ekor anak penyu yang dilepaskan, hanya seekor yang akan membesar menjadi dewasa,“ katanya. -Bernama