IPOH: Sebanyak RM21.4 juta kerugian harta benda akibat kebakaran direkodkan di Perak sejak Januari hingga Jun tahun ini, menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Sayani Saidon.
Beliau berkata sepanjang tahun lepas, sebanyak RM144 juta kerugian harta benda akibat kebakaran dicatatkan di negeri itu dengan penyumbang utama kepada angka kerugian berkenaan melibatkan kebakaran di premis industri perkilangan dan pelancongan.
“Ini baru dikira sebagai kerugian langsung. Kalau dikira tidak langsung pula seperti kehilangan pekerjaan, daya saing, kehilangan pelanggan akibat kebakaran,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Keselamatan Kebakaran Negeri Perak 2023 di sini hari ini.
Sayani berkata penyumbang kerugian lain ialah kebakaran premis kediaman dan lain-lain premis.
Sementara itu, mengulas mengenai kematian tiga individu warga asing dipercayai lemas di dalam sebuah kenderaan di Hentian Rehat Yong Peng (arah selatan) Lebuhraya Utara-Selatan, Selasa lepas, beliau menasihatkan orang ramai agar berwaspada.
“Kita kena beringatlah sebab jalinan Lebuhraya Utara-Selatan di negeri ini (Perak) panjang, jadi yang memandu dalam keadaan penat jangan tidur dalam keadaan alat penyaman udara dihidupkan tanpa membuka tingkap.
“Ini kerana penyaman udara akan menukarkan oksigen kepada gas beracun dan seterusnya menyebabkan risiko buruk kepada individu tersebut,” katanya. -Bernama