TASEK GELUGOR: Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) memperuntukan sebanyak RM70,000 kepada 400 murid bagi membantu mereka membeli keperluan sekolah sekali gus meringankan beban kewangan keluarga.

Pengerusi Perda Datuk Shaik Hussein Mydin berkata penerima merupakan murid daripada golongan keluarga miskin, asnaf, ibu tunggal dan berpendapatan rendah (B40) di Pulau Pinang.

“Menerusi program Perda4U itu, kami telah memilih seramai 400 murid dari 47 buah sekolah angkat Perda di Pulau Pinang bagi memberi bantuan kembali ke sekolah dan tahun ini Perda bantu lebih ramai berbanding tahun-tahun sebelum ini iaitu sekitar 300 lebih penerima.

“Setiap murid akan menerima bantuan dalam bentuk baucar bernilai RM150 untuk membeli pakaian, kasut dan stoking sekolah dan kami harap ia sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban keluarga mereka bagi menghadapi permulaan sesi persekolahan baharu 2024 ini,“ katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Perda4U Kembali Ke Sekolah, di Midtown Tasek Gelugor di sini hari ini.

Beliau berkata program itu merupakan sebahagian daripada aktiviti di bawah Perda yang berorientasikan pemberian bantuan kepada golongan miskin, ibu tunggal dan keluarga B40 di dalam kawasan operasi lembaga itu.

Shaik Hussein berkata jumlah peruntukan itu tidak mampu menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi oleh keluarga yang memiliki bilangan anak yang ramai bersekolah, namun sekurang-kurangnya dapat meringankan beban keluarga miskin dan B40 ketika sekolah dibuka nanti.

“Program ini merupakan program tahunan dan kami harap pada tahun-tahun depan lebih ramai lagi Perda dapat bantu (khususnya) murid sekolah, fokus kita (Perda) di Pulau Pinang memang untuk bantu golongan memerlukan iaitu B40 dan golongan lain termasuk peniaga dan usahawan, hari ini kami fokus kepada bantuan sekolah,“ katanya.

Sementara itu, penerima bantuan Mazli Ismail, 51, berkata beliau bersyukur dan berterima kasih kepada Perda kerana anak sulungnya Alif Ziyad yang akan memasuki darjah satu menerima bantuan tersebut.

Bantuan itu katanya sememangnya ditunggu-tunggu kerana pendapatannya tidak seberapa berikutan beliau hanya bekerja sebagai peniaga air.

“Banyak juga nak guna duit walaupun hanya seorang anak yang akan bersekolah dan Alhamdulillah dengan bantuan Perda ini dapat meringankan belanja saya dan isteri, terima kasih Perda,“ katanya yang mempunyai dua anak lelaki.

Bagi Nurasyilah Mohd Yusoff, 32, seorang daripada tiga anaknya yang bersekolah pada tahun ini menerima bantuan awal persekolahan itu justeru dapat membantu meringankan perbelanjaan.

“Hari ini anak sulung saya Muhammad Aiman Raziq Suhaidi, 11, menerima baucar bantuan dan ia dapat ringankan beban walaupun hanya dia seorang yang dapat kerana sekarang ini barang keperluan sekolah pun agak mahal.

“Kami dapat berjimat untuk beli keperluan dia nanti dan hanya keluarkan duit untuk dua lagi adiknya yang bersekolah...saya bersyukur sangat-sangat dengan bantuan yang kami dapat dari Perda ini,“ katanya yang merupakan suri rumah manakala suaminya bekerja sebagai mekanik.

Dalam pada itu, Nur Asyikin Othman, 32, yang juga suri rumah berkata tiga anak perempuannya bersekolah tahun ini dan beliau bersama suami memerlukan banyak belanja untuk membeli keperluan sekolah.

Katanya dengan bantuan yang diterima hari ini dapat membantunya berjimat dan mengurangkan beban kewangan untuk mendapatkan keperluan sekolah.

“Kali ini buka sekolah kita akan berpuasa lepas itu raya pula, jadi memang banyak nak guna duit dan Alhamdulillah anak sulung saya Nur Sofiah Atiqah Mohd Nur Amin yang akan masuk darjah tiga menerima bantuan hari ini,“ katanya yang mempunyai anak kembar berusia enam tahun dan bakal melangkah ke prasekolah. -Bernama