• 2024-03-06 08:17 PM

GUA MUSANG: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan memindahkan dua gajah jantan liar yang dipercayai mengganggu tanaman kira-kira 400 pekebun dalam operasi di Kampung Subong dan Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Kesedar Sungai Terah, Gua Musang.

Pengarah Perhilitan Kelantan Mohamad Hafid Rohani berkata dua gajah dewasa itu ditangkap pada Sabtu dan Ahad lepas, dan dinamakan ‘Man Subong’ dan ‘Nik Subong’, dipindahkan hari ini dan semalam.

Beliau berkata operasi memindahkan dua gajah jantan itu menggunakan dua gajah denak betina bernama ‘Sanum’ dan ‘Kasturi’ yang dibawa dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang, untuk memujuk dua gajah liar berkenaan yang berusia 20 tahun untuk keluar dari hutan.

Menurutnya operasi translokasi bermula semalam sehingga hari ini dan dijalankan di Kampung Subong dan di RPT Kesedar Sungai Terah.

“Alhamdulillah proses pemindahan berjalan lancar dan kedua-dua gajah ini akan dilepaskan ke habitat asal mereka,” katanya kepada pemberita di RPT Kesedar Sungai Terah, di sini.

Mohamad Hafid berkata operasi itu melibatkan 20 anggota dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah (Pahang), Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Sungai Deka (Terengganu) dan Unit Tangkapan Gajah (UTG) Kelantan.

Berikutan itu beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan sebarang video lama yang melibatkan haiwan liar di kawasan kebun penduduk.

“Sikap segelintir masyarakat yang suka menularkan video-video lama ini memberi kesan kepada agensi dan penduduk sekitar yang terlibat,“ katanya.

Sementara itu penduduk Mat Rozi Mat Kasim, 52, berkata dia berterima kasih di atas tindakan pantas Perhilitan yang membuat pemantauan sejurus menerima aduan penduduk lebih seminggu lalu.

“Terima kasih Perhilitan kerana berjaya mengesan, menangkap serta memindahkan gajah-gajah ini. Hari ini adalah kali ketujuh gajah liar ditangkap dan dipindahkan keluar dari kawasan ini.

“Harapan penduduk kampung semoga isu ancaman gajah liar ini dapat diselesaikan untuk jangka masa panjang kerana kehadiran haiwan itu hanya akan menyebabkan kerosakan tanaman serta mengakibatkan kerugian kepada penduduk,“ katanya. -Bernama