KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran mempertingkat kecekapan proses pendaftaran harta intelek atau intellectual property (IP) bagi memperkasa perkembangan inovasi dan kreativiti sesebuah perniagaan serta industri kreatif negara.

Senator Susan Chemerai Anding (gambar) berkata proses pendaftaran IP yang kurang cekap dan memakan masa yang lama ketika ini menyumbang kepada suasana industri kreatif yang tidak kondusif, termasuk kepada usahawan kecil yang berhasrat mendaftar harta intelek masing-masing.

“IP memainkan peranan penting dalam mendorong inovasi dan kreativiti sesebuah perniagaan serta industri kreatif kerana harta intelek yang didaftarkan boleh menjadi aset penting yang mampu mendorong pengukuhan ekososistem kedua-dua sektor itu.

“Namun begitu buat masa sekarang, proses pendaftaran IP yang kurang cekap dan memakan masa terutama melibatkan cap dagangan dan paten telah menjadikan suasana industri kreatif dan perniagaan kecil kurang kondusif,” katanya ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Negara hari ini.

Sijil cap dagangan dan paten masing-masing boleh dikeluarkan dalam tempoh enam bulan dan 20 bulan dari tarikh pemfailan, dengan pemberian sijil adalah tertakluk kepada permohonan yang tiada bantahan.

Beliau berkata ketidakcekapan itu jika tidak ditangani boleh mengekang perkembangan IP dan industri kreatif negara kerana pemilik tidak mendapat hak eksklusif terhadap harta intelek mereka.

“Untuk pastikan pembentukan ekosistem perdagangan yang sihat dan mendorong inovasi serta kreativiti sesebuah perniagaan, proses pendaftaran IP di negara ini perlu ditingkatkan kecekapannya, seiring hasrat kerajaan mempertingkat kecekapan penyampaian perkhidmatan awam,” katanya. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image