CHUKAI: Program pemeliharaan dan pemuliharaan penyu yang dijalankan oleh kerajaan Terengganu dengan kolaborasi Jabatan Perikanan Negeri Terengganu berjaya meningkatkan populasi reptilia berkenaan.

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Terengganu, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abd Razak berkata jumlah pendaratan penyu di negeri itu mencatat peningkatan ketara apabila sebanyak 10,019 sarang direkodkan pada 2022 berbanding 7,614 sarang pada 2021.

Beliau berkata ia melibatkan penyu spesies agar dan tuntung laut yang bertelur di 52 lokasi pendaratan seluruh negeri yang sebahagian besarnya terletak di daerah Dungun dan Kemaman.

“Tempoh matang penyu untuk membesar dan kembali bertelur di darat memakan masa lama iaitu antara 20 hingga 25 tahun.

“Justeru program yang kami lakukan 30 tahun dahulu hasilnya hanya akan dapat kita lihat dan rasai hari ini untuk diwariskan kepada generasi akan datang,“ katanya kepada pemberita selepas program Cakna Penyu di Pantai Teluk Mak Nik di Geliga, Kemaman, malam tadi.

Tun Ahmad Faisal yang juga Pengarah Unit Pembangunan Negeri (UPEN) Terengganu berkata setiap tahun kerajaan negeri membelanjakan lebih RM600,000 untuk program konservasi penyu yang menjadi ikon negeri Darul Iman.

Katanya usaha itu turut dibantu kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Perikanan Negeri Terengganu yang menyalurkan peruntukan hampir RM200,000 setiap tahun untuk membaiki dan menaik taraf pusat santuari di tiga lokasi iaitu Pusat Santuari Penyu Ma Daerah di Kertih, Mak Kepit di Pulau Redang dan Pusat Pemuliharaan Geliga di Kemaman.

“Kami bertuah kerana mendapat sokongan daripada rakan strategi seperti Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF), pengusaha resort dan chalet di pulau peranginan serta syarikat korporat,“ katanya.

Beliau berkata program konservasi penyu bukan sahaja penting untuk keseimbangan ekosistem laut dan warisan alam, malah ia turut menyumbang kepada sektor pelancongan berasaskan pendidikan (edutourism) di Terengganu.

Tun Ahmad Faisal berkata kerajaan negeri akan terus memperkasa sektor edutourism dengan menawarkan peluang kepada pelancong merasai sendiri pengalaman melepaskan anak penyu di Pantai Teluk Mak Nik yang turut dikenali dengan nama Monica Bay.

“Kita dah buat program ini (pelepasan penyu) di Pusat Santuari Penyu Ma Daerah di Kertih yang siap dengan pakej penginapan dan mendapat sambutan baik.

“Pantai Teluk Mak Nik adalah lokasi pendaratan tertinggi penyu di Terengganu yang terletak di pinggir bandar. Oleh itu ia amat sesuai untuk dijadikan produk pelancongan baharu di daerah Kemaman khususnya,“ katanya. -Bernama