KUALA LUMPUR: Program Pensijilan Kemahiran Malaysia dalam bidang Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam yang diperkenalkan bukan sekadar menyediakan pekerja berkemahiran, tetapi juga bertujuan untuk memartabatkan imej pekerja dalam industri itu.
Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata program tersebut yang dilaksanakan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) turut membuka peluang pekerjaan dengan syarikat konsesi di bawah seliaan SWCorp termasuk operator pembersihan.
“Program ini telah pun bermula sejak 2019 iaitu kumpulan pertama atau perintis bagi program ini melibatkan seramai 591 orang yang dihantar oleh syarikat konsesi sendiri dan maklum balas yang kita terima adalah mutu atau kualiti pekerja lebih baik selepas didedahkan dengan kemahiran ini.
“Justeru kita perluaskan program ini pada peringkat universiti dan juga penghuni penjara yang mana kita sasarkan seramai 300 penghuni penjara daripada 17 penjara akan ikuti program ini melalui program ‘Sinar di Sebalik Tirai Besi’ yang akan buka peluang pekerjaan kepada mereka sejurus tamat jalani hukuman,” katanya kepada Bernama.
Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata program ‘Sinar di Sebalik Tirai Besi’ akan dirasmikan pada 22 Jun ini di Penjara Sungai Udang, Melaka sekali gus menjadi simbolik kepada kerjasama strategik antara SWCorp dan Jabatan Penjara Malaysia dalam inisiatif berkenaan.
“Program pensijilan kemahiran ini mengambil tempoh selama lapan bulan bermula pada 1 Jun lepas hingga 31 Jan tahun hadapan dengan pemberian insentif RM500 setiap bulan sepanjang kursus,” katanya.
Mengulas mengenai Sambutan Hari Pekerja Pembersihan 2023 (Garbage Man Day) yang disambut pada 17 Jun setiap tahun, beliau berkata pelbagai program telah diatur sebagai usaha menghargai pekerja dalam sektor tersebut yang merupakan wira di sebalik tabir dalam memastikan negara berada dalam keadaan bersih dan indah.
“Sambutan di peringkat negeri melibatkan negeri Kedah, Perlis, Wilayah Persekutuan (Putrajaya dan Kuala Lumpur), Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor yang menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672), antaranya mengadakan majlis penghargaan dan menyantuni pekerja yang ada masalah kesihatan dan sebagainya,” katanya.
Akmal Nasrullah berkata setakat April tahun ini, terdapat seramai 27,465 pekerja dalam perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan, dan daripada jumlah itu seramai 20,339 orang terdiri daripada pekerja tempatan manakala selebihnya merupakan pekerja asing.
“Kalau kita lihat terdapat pertambahan jumlah pekerja tahun ini berbanding pada awal pandemik Covid-19 sekitar 25,000 pekerja dan ini mungkin kerana adanya pertambahan populasi dan sebagainya.
“Justeru cabaran kita ketika ini adalah usaha untuk menarik lebih ramai masyarakat tempatan untuk bekerja dalam perkhidmatan ini yang dikategorikan sebagai pekerja 3D iaitu difficult, dangerous and dirty (sukar, bahaya dan kotor),” katanya.
Beliau berkata dalam sektor perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, antara yang menjadi cabaran adalah bagaimana untuk menguruskan sisa pepejal dengan baik dan usaha untuk mendidik masyarakat mengasingkan sisa pepejal mereka mengikut kategori.
“Perkara paling asas yang perlu dititikberatkan kepada masyarakat iaitu macam mana untuk kurangkan sisa pepejal, itu paling asas dan kemudiannya bagaimana untuk asingkan sampah ikut kategori kerana jika tiada pengasingan dibuat akan menyebabkan kos pengurusan sisa pepejal tinggi dan juga berlaku pencemaran.
“Peranan dimainkan SWCorp memang mencabar kerana kalau kita hanya lihat dari segi penguatkuasaan dan pelaksanaan sahaja tidak mencukupi, sebaliknya kesedaran masyarakat juga perlu seiring, kerana itu juga kita adakan program Trash to Cash (tukar sampah kepada duit) bagi mengurangkan janaan sampah di samping membantu masyarakat jana pendapatan tambahan melalui pertukaran barangan kitar semula,” katanya. -Bernama