KUALA LUMPUR: Polis meminta orang ramai menggunakan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas untuk ke Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang akan berlangsung mulai esok hingga Ahad ini di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil di sini.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Zam Halim Jamaluddin (gambar) berkata dalam tempoh itu, 100 anggota polis ditugaskan menjaga lalu lintas dan ketenteraman awam di lokasi tersebut.

Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras hari ini, beliau berkata polis menjangkakan 90,000 pengunjung hadir ke program berkenaan.

“Saya menasihatkan orang ramai yang hadir ke acara itu agar menggunakan pengangkutan awam bagi mengelak kesesakan lalu lintas memandangkan ada acara lain dianjurkan pada masa sama di sana seperti perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 (8 Dis), Konsert Gegar Vaganza di Axiata Arena (10 Dis) dan Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki (JWC) 2023 (5-15 Dis).

“Orang ramai juga tidak dibenarkan meletakkan kenderaan di bahu jalan sekitar laluan masuk dan keluar stadium atau berdepan tindakan saman dan tunda akan diambil kepada kenderaan yang menghalang lalu lintas,“ katanya.

Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI diadakan untuk menyebar luas dan mempromosikan dasar dan inisiatif baharu yang diperkenalkan kepada rakyat oleh Kerajaan Perpaduan sejak mengambil alih pentadbiran negara pada 24 Nov tahun lepas.

Ia juga bertujuan meningkatkan kesedaran umum dan kefahaman terhadap hala tuju kerajaan bagi membina kepercayaan serta keyakinan antara kerajaan dengan rakyat melalui kaedah pelaporan pencapaian secara berkala.

Mengulas tentang kawalan keselamatan ketika final Piala Malaysia 2023 pada malam esok, Zam Halim berkata polis menjangkakan 85,000 penyokong bola sepak bakal membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menyaksikan pertembungan antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC)

“Sebanyak 1,400 anggota daripada pelbagai agensi termasuk polis akan ditugaskan mengawal lalu lintas dan menjaga kenteraman awam di lokasi berkenaan,” katanya.

Beliau berkata polis turut memberi amaran tegas kepada mana-mana individu agar tidak mencetuskan kekacauan, rusuhan serta provokasi melampau semasa perlawanan dan selepas tamat perlawanan bola sepak itu.

Sementara itu, mengulas mengenai kes kanak-kanak berumur enam tahun yang maut disyaki didera di sebuah flat perumahan di Bandar Tun Razak di sini, Zam Halim berkata polis merakam keterangan penjaga disyaki terlibat dalam insiden tersebut semalam, dan kes masih dalam siasatan.

Isnin lepas, polis memaklumkan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun disahkan meninggal dunia disyaki didera dan diabaikan oleh penjaganya di sebuah flat perumahan di Bandar Tun Razak, pada Sabtu lepas. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image