JOHOR BAHRU: Projek penyimpanan gas asli cecair (LNG) tambahan di Pengerang, Johor dapat memajukan industri hiliran minyak dan gas, sekali gus meningkatkan daya saing negeri dan negara dalam sektor berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri Lee Ting Han (gambar) berkata Johor mengalu-alukan pengumuman kerajaan Persekutuan berhubung pelaksanaan projek itu memandangkan Pengerang di Kota Tinggi mempunyai kelebihan tersendiri, antaranya terletak di laluan kapal antarabangsa.
“Projek ini merupakan sambungan kepada fasiliti sedia ada di Pengerang dan dalam hal ini, Pengerang adalah sebuah kawasan yang mempunyai kelebihan tersendiri iaitu terletak di laluan kapal antarabangsa, terlindung daripada ancaman selain kedalaman laut yang mencukupi.
“Setakat ini, Kompleks Pembangunan Bersepadu Penapisan dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang menyaksikan pelaburan hampir USD27 bilion dan mewujudkan lebih 6,000 peluang pekerjaan berkemahiran,“ katanya ketika dihubungi Bernama.
Isnin lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) berkata projek penyimpanan LNG tambahan akan dibangunkan di Terminal Penggasan Semula (RGT), Pengerang bagi memenuhi peningkatan permintaan LNG dan memastikan keterjaminan bekalan.
Langkah itu akan memperkukuh usaha meliberalisasi pasaran gas domestik dan menjadikan Malaysia sebagai hab pasaran gas asli serantau.
Anwar juga berkata kerajaan akan memantapkan sektor dan industri dengan pertumbuhan dan nilai tinggi (high-growth high value, HGHV) meliputi lima bidang antaranya pembangunan HGHV 1 iaitu industri berasaskan peralihan tenaga.
Lee berkata dalam usaha pembangunan HGHV, ia selari dengan hala tuju kerajaan negeri dalam sektor pelaburan dan perindustrian.
Beliau berkata Johor telah menyaksikan pembangunan pesat dalam sektor pusat data dan industri sokongan berkaitan termasuk elektrik dan elektronik (E&E) dalam tempoh dua tahun ini yang menyumbang kepada pencapaian pelaburan komited tertinggi dalam negara berjumlah RM70.6 bilion pada tahun lepas.
Menurutnya, Johor mempunyai kelebihan termasuk lokasinya yang strategik, pelabuhan antara tersibuk di dunia dan memiliki modal insan berkualiti menerusi beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) yang ada di negeri itu.
“Dengan inisiatif yang bakal kerajaan Persekutuan bangunkan, saya berpandangan ia dapat memberi keyakinan kepada pelabur dan pemain industri untuk melabur di Malaysia khususnya di Johor,” katanya. -Bernama