KUALA LUMPUR: SBH Kibing Solar New Materials (M) Sdn Bhd telah membuka kemudahan pembuatan baharunya di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) sebagai antara pelan pelaburannya yang bernilai RM3 bilion.
Dalam kenyataan bersama hari ini, SBH Kibing Solar dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata loji ini akan menghasilkan kaca fotovolta solar (PV) dan mewujudkan 1,400 pekerjaan baharu, dengan komitmen sekurang-kurangnya 90 peratus jawatan untuk diisi oleh rakyat Sabah.
Menurut kenyataan itu program latihan intensif akan diadakan kepada tenaga kerja yang bakal tiba untuk memastikan kelancaran operasi kemudahan baharu tersebut.
Majlis pelancaran itu dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor. Hadir sama ialah pegawai MIDA dan kerajaan negeri Sabah serta Pengerusi Kibing Group, Yu Qibing.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam kenyataan sama menyambut baik langkah pengembangan SBH Kibing Solar bernilai RM3 bilion menerusi kilang pembuatan keduanya di Sabah.
“Ini mencerminkan keyakinan syarikat terhadap daya tarikan Malaysia sebagai hab pelaburan serta dasar kami mengenai pengilangan mampan dan ekonomi hijau, terutamanya seperti yang ditekankan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 yang dilancarkan baru-baru ini,” katanya.
Tengku Zafrul berkata pelaburan yang signifikan dalam kilang baharu ini menegaskan kedudukan Malaysia sebagai penggiat utama dalam rantaian nilai pembuatan lengkap PV solar di samping menyokong matlamat sifar bersih pelepasan gas rumah hijau menjelang 2050.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MIDA Datuk Arham Abdul Rahman berkata agensi itu optimis bahawa kemudahan pembuatan kaca fotovolta solar baharu itu akan menjadi panduan kepada seluruh industri, memberi dorongan kepada pihak lain untuk mengikut jejaknya dan menyumbang kepada kemajuan dan pencapaian bersama.
“Limpahan daripada pelaburan ini pastinya akan memberi manfaat kepada Sabah dalam pelbagai aspek termasuk pemindahan teknologi dan penciptaan pekerjaan.
“Ini tentunya akan membantu kemajuan negeri sebagai pusat pembuatan yang berkembang maju dan merangsang pembangunan ekonomi di Sabah,” katanya.
Sementara itu, Penolong CEO Kibing Group, Yao XinXi berkata syarikat itu menyasarkan untuk menghasilkan kaca solar berkualiti tinggi, mengukuhkan bakat tempatan dan mencipta peluang pekerjaan kepada masyarakat.
“Komitmen kami kepada kecemerlangan dalam teknologi, inovasi dan kelestarian akan memastikan kilang ini beroperasi pada piawaian tertinggi,‘’ katanya. -Bernama